TELUK INTAN - Uniknya! itulah yang boleh digambarkan pada pasukan bola sepak Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Muda Musa, di sini.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Raja Muda Musa, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi berkata, pasukan bola sepak sekolah itu diberi tugas mengurus pasukan kepada murid-murid mereka sendiri.

"Kebiasaannya sekolah-sekolah lain memberi tanggungjawab penting seperti pengurus pasukan kepada guru namun SK Raja Muda Musa memberinya kepada murid.

“Kita ingin mendidik anak-anak yang meminati sukan ini agar belajar tentang selok-belok pengurusan pasukan bola secara profesional sejak kecil lagi,” kata majlis pelancaran jersi dan pengenalan penaja, Jumaat lalu.

Amir turut menjelaskan guru-guru sekolah tersebut hanya terlibat dalam urusan kewangan kelab.

"Semua urusan lain mengenai kelab dan pasukan termasuk jadual latihan serta perlawanan akan diuruskan sendiri oleh murid sambil dibimbing oleh guru dan kami pihak PIBG.

“Usaha ini ternyata mendapat sokongan daripada pelbagai pihak terutama ibu bapa," katanya.

Katanya, pasukan bola sepak itu juga dikenali sebagai Kelab Bola Sepak Serasa Scorpio.

"Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) turut memberi berita gembira kepada warga sekolah apabila mengumumkan persetujuan mereka untuk mengambil Kelab Bola Sepak Serasa Scorpio sebagai kelab angkat PAFA," katanya.

Sempena majlis itu juga, Kelab Bola Sepak Serasa Scorpio turut memperkenalkan barisan penaja korporat mereka.

Sementara itu, jersi Kelab Bola Sepak Serasa Scorpio turut menyampaikan mesej melalui logo pada jersi pasukan iaitu ‘Sifar Ponteng’ dan ‘Sayang Sekolah’.

Turut hadir pada majlis itu Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Tajul Hasnan Omar.

Penaja-penaja Kelab Bola Sepak Serasa Scorpio menandatangani memorandum persefahaman.

Tetamu yang hadir pada majlis tersebut turut merakam kenangan.

Ahli Kelab Bola Sepak Serasa Scorpio.
 

GPSBestari.com ucapkan selamat maju jaya!!!