Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hantar 140 sukarelawan, terdiri daripada mahasiswa dan kakitangan universiti itu untuk Misi Bantuan Pasca Banjir di sekitar Perak dan Johor.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata UPSI sentiasa prihatin dengan masalah yang dihadapi masyarakat termasuk membantu mangsa banjir sejak beberapa tahun lalu.

“Kami menggerakkan pasukan kesukarelawanan iaitu  ResQ Team  yang senantiasa bersedia untuk tampil membantu ketika masyarakat menghadapi banjir di negeri-negeri yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, UPSI memberi penekanan kepada pemupukan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa bagi mengukuhkan sahsiah mereka sebelum tamat pengajian.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff pula berkata, fokus kali ini adalah tertumpu di bahagian Tanjong Malim,  Kuala Slim dan  Kota Tinggi.

“UPSI menubuhkan ResQ Team yang memiliki pelbagai kemudahan dan kelengkapan penyelamat untuk membantu mangsa banjir, malah mereka mempunyai pengalaman dalam beberapa misi bantuan sebelum ini termasuk  di Kelantan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Dr. Norkhalid Salimin turut menjelaskan, sebelum pihaknya turun membantu mangsa-mangsa banjir, pihak RESQ Team UPSI mengambil inisiatif melawat kawasan tapak banjir dan mengambil kira jumlah penduduk setempat serta anggaran kerosakan yang memerlukan bantuan khidmat pihak universiti.

“Setelah perbincangan kami mengenal pasti barang kelengkapan dan alat pembersihan yang diperlukan seperti water jet, penyapu, penarik air, sarung  tangan, boot getah dan lain-lain,” katanya.

Tambah beliau, dalam misi yang dilaksanakan pada 5 Januari lalu, pihaknya menghantar dua pasukan untuk membantu mangsa banjir di dua buah kampung iaitu Kampung Balun dan Kampung Lintah Piong.

“Keadaan banjir di Kampung Balun sudah mula surut dan kerja pelaksanaan proses pembersihan adalah membawa keluar isi rumah yang rosak ditenggelami air banjir seperti sofa, almari, pakaian dan lain-lain. Selepas itu, barulah kami memulakan sesi mencuci dan membersihkan kediaman penduduk.

 “Kami juga membantu mengeluarkan air banjir yang masih bertakung menggunakan alat water jet dan menyalurkan air banjir tersebut dari kawasan rendah ke aliran sungai,” katanya.

Res Q Team turut mendapat kerjasama daripada beberapa agensi lain termasuk pihak Rela dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Antara pusat tanggung jawab UPSI yang terlibat dalam misi tersebut adalah Pusat UPSI ResQ, Kolej Aminuddin Baki, Kolej Za’ba, Kolej Ungku Omar, Kolej Awang Had Saleh, Kolej Harun Aminurrashid, dan juga Unit Kediaman Luar Kampus.