MENGAJAR hanya seorang murid tidak menjadi halangan bagi Cikgu G Puvaneswari memberi yang terbaik.

Guru Bahasa Melayu, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungai Timah, Hilir, Perak itu berkata, jarak perjalanan dari rumah ke sekolah mencecah 170 kilometer yang ditempuh setiap hari tidak pernah menerbitkan rasa penat dan putus asa.

"Walaupun ini Sekolah Kurang Murid (SKM) dan murid saya hanya seorang tetapi saya tetap menggunakan kaedah pengajaran abad ke-21 (PAK21) bagi membantu murid lemah dalam mengenal huruf.

"Saya mengajar mereka menari sambil beljar di dalam kelas dan ternyata kaedah ini membuatkan mereka cepat faham dan pandai," katanya.

Cikgu Puvaneswari dan Devan Raj.

Guru sekolah pedalaman itu berkata, sebelum mengajar beliau sentiasa menganggap dirinya juga seorang murid.

"Sebelum mengajar saya sentiasa berimaginasi bahawa diri ini seorang murid, jadi apa yang hendak saya lakukan.. saya akan buat kepada murid saya," katanya.

Ditanya GPS Bestari mengenai video yang dimuat naik di Facebook yang tular dan disukai ramai orang itu membuatkan Cikgu Puvaneswari tidak menyangka ramai pula berkongsi kaedah tersebut dan mendapat komen positif.

Menurutnya, beliau seorang yang cintakan seni kreatif sebab itulah tercetusnya idea menggabungkan mainan dan tarian untuk kenali bunyi huruf.

"Kaedah itu saya gunakan untuk ajar murid lemah, saya cuba ajar anak murid saya T Devan Raj, Tahun Tiga itu kenali bunyi vokal huruf sambil menari, ia berkesan jika dilihat dalam video tersebut.

"Saya mengkaji potensi murid Devan Raj, apa yang saya lihat dia lebih berminat belajar secara menari dan bermain," jelasnya.

Perlu kreatif

Tiada apa yang lebih menggembirakan bagi seorang guru selain melihat anak muridnya pandai dan berjaya.

Begitu juga dengan Cikgu Puvaneswari yang sangat teruja dan gembira melihat perubahan positif kepada Devan Raj.

"Saya gembira apabila murid menampilkan bakat hasil yang diajar, walaupun pada awalnya sukar untuk mereka terima," jelas beliau lagi.

Puvaneswari yang juga bekas guru SJKT Ladang Tangkah, Johor itu berkata, beliau tidak gemar menjadi guru yang hanya mengajar, memegang buku dan alat tulis sahaja kerana bagi beliau, seorang guru itu perlu kreatif dan mencuba pelbagai cara untuk memandaikan anak muridnya.

"Saya tidaklah mahu menjadi pendeta di atas pentas sahaja, apa yang saya hendak adalah berjalan bersama mereka, itulah prinsip saya", katanya.

Beliau sering mengingatkan dirinya bahawa sebelum mengajar perlu kenal pasti kehendak dan potensi murid terlebih dahulu sebelum menentukan teknik pembelajaran yang sesuai.

Cikgu Puvaneswari mengajar anak muridnya lukis huruf dalam bahasa Tamil pada lengan menggunakan inai ketika mengajar di SJKT Ladang Tangkah, Johor.

Walaupun Cikgu Puvaneswari berhadapan dengan pelbagai cabaran kerana mengajar mata pelajaran bukan opsyen tetapi beliau tetap berusaha sebaik mungkin menjalankan tanggungjawab.

"Kadangkala ada juga ibu bapa murid kurang setuju dengan kaedah mengajar saya, tetapi itu bukanlah menjadi alasan untuk saya berikan yang terbaik buat anak murid saya.

"Saya rancang pelbagai intervensi didik hibur untuk murid seperti Devan Raj, ilmu ini saya bersedia untuk kongsi dengan mana-mana rakan guru yang ingin belajar," katanya.

Beliau amat berterima kasih suaminya, P Sivaballan yang juga guru di sekolah itu kerana sentiasa memberi dorongan terhadap usaha pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) didik hibur yang dilakukan.

Reaksi

"Saya gembira dengan kaedah PdpC yang digunakan oleh Cikgu Puvaneswari. Devan Raj boleh mengenal huruf vokal dan konsonan melalui kaedah yang diaplikasikan cikgu. Murid rasa seronok untuk belajar."  - R Laavanya, Guru Kanan Kokurikulum

"Saya bangga dengan usaha Cikgu Puvaneswari kerana beliau menggunakan kaedah yang kreatif dan inovasi dalam PdPc. Kaedah yang digunakan cikgu ini dapat meningkatkan prestasi murid pemulihan. Beliau juga menjalankan tugas dengan penuh dedikasi." - S Malaarvily, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid

"Saya bangga dengan usaha Cikgu Puvanesari di sekolah ini kerana beliau mempunyai bakat untuk membantu murid pemulihan mengatasi masalah pembelajaran." - P Netianantham, Guru Kanan Pentadbiran

"Saya kagum dan bangga dengan Cikgu Puvaneswari yang sentiasa berfikiran inovatif serta kreatif dalam PdPc. Semangat dan pendirian tidak putus asa dalam didikan anak muridnya merupakan identiti beliau sebagi seorang guru 'berjiwa cikgu'." - K Sri Murugan, Guru Besar

Murid SJKT Ladang Tangkah, Johor, seronok lukis bentuk bunga dan huruf pada lantai kaki lima bilik darjah sambil bermain.

Cikgu Puvaneswari mengajar Devan Raj memegang stereng kereta mainan sambil berjalan mengenal huruf pada setiap kon berwarna.

Artikel lain:

"Boleh saya dakap cikgu? Saya rindu ayah..."

Tip lulus Bahasa Melayu Kertas 2 UPSR 2020

Cikgu Azlan kongsi tip mudah bina carta pai subjek Geografi

Cikgu ini kongsi cara hafal sifir dalam masa sehari - Murid pasti skor Matematik

Hafal formula 'Memori Mengarang', murid pasti skor Bahasa Melayu USRA