BATU KURAU - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Perak, semalam.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Sekolah yang memulakan pembinaan pada Januari 2011 di atas tapak seluas 10.6 hektar itu siap sepenuhnya pada 2 Ogos 2013.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam ucapannya berkata, sekolah yang mengandungi 22 kelas itu diserahkan kepada kementerian pada September tahun sama dan memulakan operasi sebulan selepas itu.

“Jumlah pelajar pada tahun ini adalah 537 orang dengan 49 guru dan dibantu enam staf sokongan,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan kaedah pengajaran abad ke-21 akan dapat merangsang minda dan menyuntik ilmu kepada semua pelajar dalam usaha melahirkan anggota masyarakat yang berilmu dan berpendapatan tinggi pada masa datang.

Sultan Nazrin berkenan menandatangani plak perasmian SMK Kampong Perak. Turut hadir Hamzah (kiri), Mahdzir (dua, kanan) dan Zambry (kanan).

Untuk itu menurutnya, pendidik perlu berusaha mengikuti perkembangan pendidikan terkini dengan mentransformasikan kaedah pengajaran bagi memenuhi hasrat negara merealisasikan Gagasan 1Malaysia.

“Kejayaan sesebuah sekolah berkait rapat dengan peranan pendidiknya. Oleh yang demikian, pendidik perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebaik mungkin selaras dengan profesion keguruan.

“Namun begitu, kerjasama yang mantap dengan ibu bapa dan komuniti setempat tidak boleh diketepikan dalam usaha melahirkan sebuah sekolah yang cemerlang,” katanya.

Mahdzir berkata, kementerian sentiasa menggalakkan ibu bapa bekerjasama dengan pihak sekolah melalui Program Sarana.

“Ibu bapa perlu sedar bahawa anak-anak berada di sekolah hanya enam jam sehari, manakala masa mereka di rumah dan di bawah pengawasan ibu bapa melebihi 18 jam. Tidak wajarlah jika menuding jari menyalahkan pendidik apabila anak-anak kita tidak berjaya dalam akademik,” katanya.

Hadir sama ke majlis itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria.