KANGAR - Seramai 130 anak yatim dan golongan asnaf di negeri ini diberi peluang membeli-belah di pasaraya Giant sempena Jom Shopping Bersama Pas Kangar, semalam.

Pengarah Jabatan Pilihan raya Pas Kangar, Abdul Jamil Kamis berkata, program itu dijalankan saban tahun setiap kali bulan Ramadan.

“Kita memilih bulan Ramadan kerana ganjaran pahala membantu golongan memerlukan sangatlah besar.

“Selain itu program ini bertujuan meringankan beban penerima yang rata-ratanya hidup dalam serba kekurangan,” katanya.

Tahun lalu, katanya, seramai 65 anak yatim dan golongan asnaf menerima sumbangan itu dan diharapkan lebih ramai yang dapat dibantu pada tahun akan datang.

“Kita tidak mengira latar belakang dalam memberikan sumbangan, asalkan mereka memerlukan kita akan cuba membantu,” katanya.

Penerima mendapat wang tunai RM100 dan perlu membelanjakannya di Pasaraya Giant.

Sementara itu, penerima, Embun Nayan, 64, berkata, dia sangat bersyukur kerana mendapat wang tunai RM100.

“Dengan duit ini mak cik boleh beli barang dapur seperti beras, gula dan makanan basah,” katanya.

Penerima kedua, Anas Susuki, 10, berkata duit yang diperoleh itu akan digunakan untuk membeli baju raya.