KUALA PERLIS - Ibu bapa murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Perlis semalam menandatangani akujanji bagi memastikan anak mereka hadir ke sekolah setiap hari dalam usaha mengekang gejala ponteng dalam kalangan murid sekolah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Mat Hassan berkata peranan ibu-bapa yang mengambil berat terhadap kepentingan pendidikan anak-anak adalah faktor utama mendorong dan mempengaruhi sikap seseorang murid di sekolah.

Beliau berkata, daripada keseluruhan 800 murid Tahun Satu hingga Enam di sekolah berkenaan, purata sebanyak 50 murid direkodkan tidak hadir ke sekolah setiap hari.

“Hasil tinjauan sekolah dan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) yang dilakukan ke rumah pelajar yang kerap ponteng sekolah mendapati ibu bapa tahu tentang hal tersebut dan menganggap ia perkara biasa.

“Malah, ibu bapa turut menyebelahi anak-anak mereka yang bersikap malas serta banyak alasan seperti penat, tiada buku dan wang belanja untuk ke sekolah,” katanya selepas mengetuai program lawatan ‘Tautan Kasih’ anjuran bersama pihak sekolah dan PIBG berkenaan ke 28 buah rumah pelajar sekolah itu, di beberapa buah kampung dan taman perumahan di sini, semalam. - Bernama