KANGAR - Seramai 150 pelajar yang bakal menyambung pelajaran ke universiti, menerima wang pendahuluan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) di hadapan Pusat Khidmat Dun Kangar, di sini semalam.

Ahli Parlimen Kangar Ir Shahrudin Ismail berkata, kesemua pelajar berkenaan mendapat wang pendahuluan sebanyak RM1,500.

“Diharapkan dengan wang pendahuluan ini dapat membantu mereka melakukan persiapan rapi untuk ke universiti.

“Kita sedia maklum bahawa pelbagai keperluan perlu disediakan sebelum melangkah ke alam universiti. Oleh itu, diharapkan wang pendahuluan ini dapat membantu,” katanya.

Ir Shahrudin turut berpesan kepada pelajar akan membelanjakan wang secara berhemah.

“Buat senarai barangan penting yang perlu dibeli supaya tidak berlaku pembaziran,” katanya.

Beliau juga berharap pelajar yang terpilih di bahagian Kangar akan lulus cemerlang di dalam pelajaran ketika berada di universiti.

“Ilmu dan pelajaran adalah sesuatu yang sangat penting dan dengan adanya ilmu kita pasti akan berjaya,” katanya.