KANGAR - SEBAHAGIAN bumbung blok C Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma dekat sini, yang berusia 71 tahun, runtuh kira-kira pukul 12.20 tengah hari, 4 Julai lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Mohammad Abd Ghani berkata, tiada kemalangan jiwa berlaku memandangkan ia terjadi pada hari cuti minggu sekolah (Sabtu).

“Sebagai langkah keselamatan pelajar, kita menutup bangunan C dan meletakkan pita keselamatan di sekeliling bangunan itu setelah mendapat nasihat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) yang melakukan pemeriksaan terhadap bangunan berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan di sekolah itu. Turut hadir, Pengetua SMK Derma, Fauziah Abd Hamid.

Mohammad berkata, JKR juga telah mengambil tindakan memotong bekalan elektrik bangunan berkenaan bagi keselamatan pelajar dan pihaknya telah menghantar laporan kejadian itu kepada Bahagian Aset Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk tindakan susulan.

“Bahagian bumbung yang runtuh hanya melibatkan bahagian bilik mesyuarat sahaja dan bukan bilik darjah, jadi ia tidak memberi kesan kepada sesi persekolahan bagi pelajar Tingkatan Lima dan Enam, dan pelajar tidak dibenarkan mendekati bangunan itu dan akan menggunakan laluan alternatif untuk masuk ke sekolah.

Mohammad berkata, beliau difahamkan bangunan sekolah itu telah disenaraikan sebagai bangunan warisan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

BERNAMA

Artikel menarik:

Ini kata Menteri Komunikasi dan Multimedia mengenai TV Pendidikan yang disiarkan RTM

Pengurusan Murid Berkeperluan Khas, 32 garis panduan yang disyorkan adalah seperti berikut...

Berikut 10 Garis Panduan Pengoperasian Surau Sekolah yang perlu anda tahu