PADANG BESAR – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), disaran mengurangkan masa melayari laman sosial ketika di saat-saat akhir menghadapi peperiksaan penting.

Seruan ini dibuat Pengarah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Perlis, Dr Mohd Zahari Ismail dalam ucapan perasmiannya ketika Majlis Graduasi Pelajar Tingkatan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Besar di dewan sekolah berkenaan.

Menurutnya, ibu bapa perlu menggunakan kemampuan yang ada untuk membangunkan semangat pelajar mengulang kaji di saat akhir ini.

“PTSS akan sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah dan ibu bapa dalam membantu mereka menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

"SMK Padang Besar merupakan salah satu sekolah angkat PTSS,” katanya.

Seramai 64 orang pelajar tingkatan lima sekolah ini menerima Sijil Graduasi Pelajar pada majlis itu.

Turut hadir, Yang Dipertua PIBG SMK Padang Besar, Tengku Badrillah Tengku Abdullah dan Pegawai Perhubungan Sekolah, Inspektor Latif Abd Halim.

Sementara itu, Pengetua sekolah, Azlini Khairan berkata, majlis itu diadakan setiap tahun sebagai memberi semangat kepada pelajar-pelajar tingkatan lima dan juga pecutan terakhir kepada pelajar untuk menelaah pelajaran.