KANGAR - Sebanyak 400 pelajar Tingkatan Lima dari 23 buah sekolah menengah di negeri ini mengikuti Program 30 Hari Menuju SPM bertempat di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Perlis, baru-baru ini.

Program tersebut dianjurkan oleh Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dengan kerjasama Majlis Guru Kaunselor Perlis dan Jabatan Pendidikan Negeri dirasmikan oleh Anggota Parlimen Kangar, Ir Shaharuddin Ismail.

Dua penceramah di undang untuk memberi ceramah motivasi kepada para pelajar yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu terdiri dari Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Telekomunikasi Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Dr Huzili Hussin dan Pencetus Umah (PU) Mohamad Azraie Mohamad Yunus.

Dalam ucapannya, Shaharuddin menasihatkan pelajar-pelajar yang akan mengambil peperiksaan SPM supaya tenang membuat persiapan ulang kaji pelajaran.

“Kurangkan melibatkan diri dengan aktiviti luar. Perbanyakan ulang kaji di rumah atau sekolah,” katanya.