Pemergian seorang jurulatih hoki Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan (SMKSH), Badrisham  Che Yob,53, adalah kehilangan yang cukup besar buat warga sekolah berkenaan.

Badrisham yang tinggal di Taman Indah, Bintong di sini, disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas, awal pagi Isnin lalu di Krabi ketika menyertai konvoi motosikal bersama beberapa orang lagi rakannya.

Rakan sekerjanya, Aamar Hashim, 37, yang juga seorang jurulatih badminton SMKSH, berkata dia dan Allahyarham mula berkhidmat di SMKSH sejak 2013.

“Arwah seorang yang sangat baik dan tegas dalam menjalankan tugasnya. Kalau ada perkara yang dia tak puas hati, dia akan cakap terus terang.

“Hubungan dia dengan anak-anak buahnya juga sangat rapat, dia tak kedekut dan anggap mereka macam anak-anak sendiri,” katanya, semalam.

Menurutnya, selain aktif sebagai jurulatih arwah juga merupakan seorang pencinta muzik.

“Selalu kalau ada sambutan di sekolah, Allahyarham akan buat persembahan, dia suka main piano.

“Saya perasan, kebelakangan ni sebelum dia meninggal dunia dia selalu main muzik sedih, mungkin dia tahu yang dia akan pergi selamanya tinggalkan kami,” katanya yang terkejut dengan khabar menimpa sahabat baiknya itu.

Seorang pelajarnya, Nur Ain Nabila Roshidi, 17, berkata Allahyarham sangat baik dan gemar menghulurkan bantuan ketika mereka dalam kesusahan.

“Saya mula berlatih bawah arwah sejak darjah empat lagi, tapi mulai rapat dengan arwah masa tingkatan satu.

“Arwah sangat tegas ketika dalam latihan, tetapi dalam masa yang sama dia seorang yang penyayang dan mudah terhibur.

“Selepas ini, tak tahu la sapa yang nak ajar kami, sebab selalu kalau latihan waktu pagi, memang arwah seorang yang ajar,” katanya yang kali terakhir berlatih bersama arwah pada Selasa lalu.

Sementara itu, satu-satunya kakak Allahyarham, Che Daushah Che Yob, 65, adalah insan yang paling terkesan dengan pemergian Allahyarham Badrisham.

“Kami cuma dua beradik, dia sangat rapat dengan mak cik, masa ayah meninggal dunia dulu, dia masih di tingkatan tiga, mak cik yang sara dia,” katanya sambil menangis.

Menurutnya, walaupun arwah adiknya sudah tinggal berasingan, namun dia kerap berkunjung ke rumah mereka di Kampung Pondok di sini.

“Kalau hari Sabtu dan Ahad memang arwah akan balik makan nasi di rumah mak cik, kecuali kalau dia ada perlawanan kat luar.

“Arwah memang jenis pendiam, dia tak banyak cakap, kalau nak pi mana-mana dia akan bagi tahu mak cik.

“Masa dia nak konvoi tu pun dia bagitau mak cik, dia kata cuti raya cina ni nak pi Siam, dua tiga hari dia balik la.

“Sepanjang dia kat sana, mak cik pun tak telefon dia apa la, sebab tu terkejut sangat bila tau dia dah tak dak," katanya.

Che Daushah berkata, adiknya itu tidak menghidapi sebarang penyakit dan kelihatan sihat seperti biasa.

“Mak cik tak pernah nampak dia sakit, kot dia nak pi hospital ka, tak pernah... setakat demam, batuk macam tu biasa la.

“Mak cik reda dengan pemergiannya cuma sedikit terkejut dan terkilan sebab mak cik tak nampak sebarang perubahan pada diri dia,” katanya yang berjumpa kali terakhir dengan arwah adiknya pada Ahad minggu lalu.