KANGAR - Seorang ibu muda sarat mengandung terpaksa membahagikan masa dan kudrat bagi menguruskan tiga anaknya termasuk seorang adik yang menghidap penyakit jantung berlubang serta suami menderita masalah buah pinggang.

Setiap hari, Nor Farizah Mohd Yatim, 26, perlu menjaga keperluan tiga anaknya yang berusia dua hingga sebelas tahun.

Menurutnya, dua daripada  mereka sudah bersekolah dan perlu dihantar setiap hari, manakala adiknya, Mohd Amirul Hafiz Mohd Yatim, 14, pula memerlukan pantauan sepanjang masa.

Bagaimanapun, Mohd Amirul yang mempunyai masalah jantung berlubang tetap bersekolah seperti biasa dan dijadualkan menjalani pembedahan jantung di India pada 22 Jun ini.

“Alhamdulillah, semua kos hospital dan tiket kapal terbang ditanggung penuh oleh kerajaan. Tiket tu termasuklah untuk abang saya yang akan menemani adik di sana.

Cuma masalahnya sekarang, kami perlukan wang belanja bagi perjalanan mereka dari Perlis ke KLIA, selain belanja makan dan lain-lain.

"Buat masa ini saya tak mampu bagi wang sampingan untuk belanja mereka sebab saya tak ada pendapatan, dua anak bersekolah dan suami pula terpaksa bercuti tanpa gaji. Abang pun susah kerana
dia ada tanggungan sendiri selain hanya bekerja kampung," katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Bintong.

Suami Nor Farizah, Yuzeine Yaakob, 31, menderita masalah buah pinggang sejak tahun 2011. “Setiap kali ke pusat rawatan dialisis saya perlu hantar suami sebab dia dah tak boleh memandu sendiri.

“Suami saya kerja sebagai polis bantuan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), tapi sekarang terpaksa ambil cuti tanpa gaji kerana perlu ke hospital setiap Isnin, Rabu dan Khamis.

Pendapatan dia tinggal RM500 saja dari RM800 sebulan,” katanya.

Tambah Nor Farizah, dia bersyukur adiknya mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM100 setiap bulan, cuma kos tambahan untuk ke India mengganggu fikirannya.

“Jadi saya rayu sangat agar ada yang sudi bantu kami membiayai kos kewangan untuk tujuan itu," katanya.