KANGAR - Aktiviti berhenti, rebah dan guling merupakan satu modul yang terkandung dalam sesi pembelajaran ahli Kelab Keselamatan Kebakaran Kanak-Kanak (3K).

Menyedari kepentingan modul ini kepada kanak-kanak, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perlis mengambil inisiatif dengan menganjurkan Jambori Kelab 3K Peringkat Zon Kangar 2018.

Aktiviti ini dijalankan di Balai Bomba dan Penyelamat Kangar meliputi ahli kelab 3K dari Kangar dan dianjurkan Bahagian Keselamatan Kebakaran, JBPM Perlis.

Seramai 436 kanak-kanak dan 47 guru daripada 22 kelab 3K mengambil bahagian dalam aktiviti ini.

Mereka terdiri daripada kanak-kanak tabika kemas, perpaduan, pasti, prasekolah, Smart Aulad dan Taska Pewaris Unimap sekitar Kangar.

Peserta yang menyertai Jambori Kelab 3K.

 

Pendedahan kaedah menyelamatkan diri yang diajar kepada kanak-kanak ini bertujuan mendedahkan mereka cara-cara sekiranya terkena api kebakaran dan cara ini hanya mampu dilakukan mereka sahaja.

Selain itu, kanak-kanak turut diberi peluang menaiki jentera bomba, bas pameran bergerak dan bergambar dengan maskot Edie.

Lebih menarik, kanak-kanak turut disajikan dengan permainan dam keselamatan yang mana dam tersebut mengandungi beberapa aktiviti berkaitan penyelamatan seperti merangkak, meneka nombor talian keselamatan, mengesan api jahat dan api baik serta beberapa aktiviti lagi.

Turut hadir memeriahkan jambori ini ialah Pengarah JBPM Perlis, Mohd Fadzil Haroon.