PADANG BESAR - Kembara Kokurikulum yang diperkenalkan di peringkat sekolah menengah tahun ini merupakan antara inisiatif Kementerian Pendidikan bagi memupuk integrasi pelajar berbilang kaum di negara ini.

Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan (KPM), Rozainum Ahmad berkata program berbentuk pendidikan luar, khidmat masyarakat, aktiviti silang budaya, bahasa, sejarah dan aktiviti badan beruniform itu melibatkan 64 pelajar tingkatan empat pelbagai bangsa dari seluruh negara.

Katanya program itu bermatlamat melahirkan generasi Malaysia yang berilmu pengetahuan, bersemangat muhibah serta mampu menghadapi cabaran secara kolektif dan bersepadu.

Rozainum bercakap kepada pemberita selepas menutup Program Kembara Kokurikulum Peringkat Kebangsaan 2016 di Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Perlis (JPNPs) baru-baru ini. Pengarah JPNPs, Izmi Ismail turut hadir.

Proses integrasi yang diterapkan dalam program ini dapat membantu dalam membentuk perpaduan dari segi sikap, budaya dan hubungan antara kaum, katanya.

"Saya percaya dengan komitmen Bahagian Kokurikulum dan Kesenian KPM serta sokongan JPN, pelajar akan lebih mengenali negara ini hasil program yang dijalankan sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur hingga destinasi terakhir di Perlis," kata beliau.

Kembara itu bermula Isnin lepas (17 Oktober) di Pusat Kokurikulum Kuala Lumpur dan pelajar bermalam di Muzium Negara sebelum menaiki ETS dan singgah bermalam di Kuala Kangsar dan melawat sekitar Kuala Kangsar.

Para pelajar kemudian dibawa ke Pulau Pinang dan melawat sekitar pulau itu dan bermalam di sana sebelum ke destinasi terakhir ke Padang Besar dan bermalam di Pusat Kokurikulum Kem Tasoh.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jambul Pulau Pinang, Kristin Chalini Xavier Rajah yang ditemui Bernama berkata pelaksanaan program itu memberi peluang kepada beliau dan pelajar pelbagai kaum yang berlainan aliran untuk berinteraksi melalui aktiviti integrasi yang dijalankan.

"Program ini berjaya mengeratkan hubungan antara saya dengan komuniti setempat semasa gotong royong membersihkan pantai yang mendorong peserta menyemai semangat kekitaan, jati diri dan keprihatinan," tambahnya. - Bernama