ARAU - Kesempitan hidup sebuah keluarga memaksa dua beradik ‘kerap bercuti panjang’ daripada menghadiri sesi persekolahan sejak awal tahun ini.

Mohd Ady Muhd Noor, 10 yang didaftarkan sebagai murid tahun empat di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Empat kadangkala hadir di sekolah manakala kakaknya Nor Saidatul Asyira, 13, langsung tidak ke sekolah walaupun telah mendaftar tingkatan satu di Sekolah Menengah Syed Saffi, Simpang Empat.

Kesusahan mereka mendapat perhatian Jabatan Pendidikan (JPN) Perlis melalui Ops Cicir yang menyerahkan surat penempatan semula persekolahan manakala Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)  menyumbangkan wang tunai dan keperluan lain di rumah mereka di Kampung Berjaya, Simpang Empat, hari ini.

Nor Saidatul Asyira berkata dia tidak menghadiri sesi persekolahan tahun ini kerana tidak mempunyai pakaian sekolah serta buku dan peralatan persekolah.

"Saya dan adik bersyukur mendapat peluang yang diberikan JPN dan MAIPs yang menyumbangkan bantuan kewangan serta membelikan pakaian sekolah. Saya akan gunakan peluang ini untuk belajar bersungguh-sungguh,” katanya kepada Bernama selepas menerima surat penempatan semula itu daripada Pengarah JPN negeri, Izmi Ismail.

Nor Saidatul Asyira berkata bapanya bekerja sebagai buruh kasar manakala emaknya suri rumah sepenuh masa yang perlu menjaga empat adiknya.

Sementara itu, Mohd Ady berazam menghadiri kelas sepenuhnya supaya dapat bersaing dengan rakan-rakan lain.

"Walaupun terpaksa menumpang orang kampung untuk ke sekolah kerana bapa tiada kenderaan, saya bersyukur diberikan tempat untuk tinggal di asrama sekolah,” katanya.

Sementara itu, Izmi berkata kedua-dua beradik itu akan ditempatkan di asrama sekolah supaya mereka dapat menghadiri kelas seperti biasa.

"JPN akan bantu pelajar yang mahu kembali ke sekolah dengan syarat mereka mestilah bersungguh-sungguh untuk belajar. Sehubungan itu orang ramai diharap membantu JPN dengan memaklumkan kes-kes keciciran kepadanya,” kata Izmi. - Bernama