PERLIS - Jabatan Pendidikan negeri mengarahkan sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) dan kelas pra sekolah di Beseri ditutup, berikutan penularan wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sejak 17 Julai lalu.

Turut diarahkan tutup, Sekolah Kebangsaan (SK) Oran, Mata Ayer.

Exco Kesihatan Perlis, Teh Chai Ann berkata, premis tersebut ditutup bermula semalam sehingga 30 Julai ini bagi mengelak wabak berkenaan terus merebak.

Menurutnya, tiga kanak-kanak dijangkiti HFMD di taska Bonda Ceria, Taman Haz Melati, Beseri dengan 15 kanak-kanak lagi dikhuatiri terdedah sekiranya taska itu terus beroperasi.

“Di pra sekolah Anjung Budi, SK Oran pula melibatkan dua murid dijangkiti HFMD dengan 25 kanak-kanak terdedah dengan penularan wabak tersebut,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.

Beliau berkata, setakat ini kes penularan wabak berkenaan tidak begitu serius, bagaimanapun pihaknya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.

Sebelum ini, kelas prasekolah SK Paya, Padang Besar, turut diarah tutup dua minggu bermula 13 Julai lalu.

Chai Ann berkata, terdapat peningkatan sebanyak 41 kes atau 32.8 peratus pada minggu ke-27 berbanding minggu sama tahun lalu.

“Manakala, merujuk laporan rasmi Kementerian Kesihatan sehingga 13 Julai lalu, 190 kes HFMD didaftarkan di Perlis.

“Namun, tiada sebarang kematian atau komplikasi seperti encephalitis yang dilaporkan berkaitan dengan kes HFMD,” katanya.