KUALA PERLIS - Persatuan Anak anak Perantau Kuala Perlis (Pekola) mengadakan Program Pendidikan dan Kemasyarakatan siri ketiga untuk anak-anak nelayan dan petani di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Seberang Ramai, kelmarin.

Penasihat Pekola,  Sezali Din berkata, program Fikirkan, Katakan, Usahakan A itu mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai 92 murid.

"Sebelum ini kita hebahkan program di akhbar dan juga media sosial.

"Tujuan kita cuma ingin membantu anak-anak nelayan," katanya ketika ditemui selepas program berkenaan.

Menurutnya, sepanjang program, pelajar diberikan ceramah berkaitan kemahiran berfikir aras tinggi, modul teknik kemahiran belajar dan ceramah motivasi keibubapaan.

"Kerjasama dan kesedaran ibu bapa pada program yang disusun juga amat memberangsangkan apabila mereka turut hadir mendengar ceramah," katanya.

Sezali berkata, pihak Pekola berharap dengan pelaksanaan program berkenaan, peratusan pencapaian A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini akan meningkat.

"Sepanjang 2016, Pekola turut menyusun pelbagai program seperti ceramah kesan internet dan penggunaan telefon pintar kepada belia Muslim, teknik menjawab soalan UPSR, Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), program bantuan kemasyarakatan serta kem bina diri dan insan remaja," katanya.

Hadir sama merasmikan program, Ahli Parlimen Kangar, Ir Shaharuddin Ismail.

Shaharudin berkata, beliau akan sentiasa menyokong sebarang bentuk aktiviti yang bertujuan meningkatkan taraf pendidikan di negeri ini.