ARAU - Pelajar harus dilatih membina pemikiran bertaraf dunia yang berupaya melonjakkan kecemerlangan diri mereka, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Menurut baginda, pembudayaan ilmu bagi mencapai matlamat itu perlu berteraskan pada agama dan moral supaya generasi yang dilahirkan tetap berpegang teguh pada budaya dan identiti nasional.

“Pelajar cemerlang harus berkebolehan, memahami dan mampu berinteraksi dalam bahasa selain daripada bahasa ibunda untuk mengakses pelbagai sumber maklumat,” titah baginda ketika rasmi majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Sheikh Ahmad, baru-baru ini.

Turut hadir, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Baginda bertitah pelajar juga perlu menunjukkan minat, aktif mengambil bahagian dan mampu bekerjasama serta dapat menerima pandangan rakan, bagi mempercepatkan kematangan mereka berfikir.

Ibu bapa juga harus menyokong program anjuran sekolah untuk menarik minat anak mereka terhadap pembelajaran, tambah Tuanku Syed Faizuddin.- Bernama