KANGAR - Seramai 208 pelajar Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Tengku Sulaiman yang menduduki Pentaksiran Peperiksaan Tingkatan Tiga (PT3) hari ini terpaksa dikuarantinkan selama 40 minit berikutan berlakunya kebakaran di sekolah berkenaan.

Demikian kata Pengarah Pendidikan Perlis, Izmi Ismail ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurut Izmi, kejadian berlaku sekitar jam 12 tengah hari ketika kesemua pelajar berkenaan sedang menjawab kertas soalan Pendidikan Islam.

"Kita mendapat nasihat daripada pihak bomba untuk kuarantinkan kesemua calon di dalam bilik khas bagi memastikan mereka berada dalam keadaan baik dan terhalang daripada asap tebal.

"Kita kuarantinkan mereka bermula jam 12.20 sehingga 1 petang dan peperiksaan diteruskan dengan baik selepas itu," katanya.

SMK Tengku Sulaiman yang mempunyai keseluruhan pelajar berjumlah 1,343 dikatakan selamat berkumpul di padang sekolah tanpa mengalami kecederaan.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 12.08 tengah hari dan tiba di lokasi kejadian pada jam 12.23.

"Seramai 21 anggota terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran. Setiba ditempat kejadian di dapati api berpunca daripada bilik masak  dan merebak ke makmal komputer,"katanya.


Tindakan pemadaman dilakukan dengan menggunakan tiga aliran dan enam pancutan air dari jentera Balai Bomba Penyelamat (BBP) kangar dan Kuala Perlis serta Tanker BBP Padang Besar.