KANGAR, 7 Sept (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) merasa bangga apabila seorang pelajar tahun dua Diploma Kejuruteraan Mekatronik dari universiti itu terpilih untuk menyertai Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) tahun ini.

Peshminder Pall Singh, 19, merupakan antara 28 belia daripada seluruh negara yang dipilih menyertai program itu bermula dari 25 Okt hingga 15 Dis. Menurut UniMAP, pelajar itu dipilih selepas melalui ujian psikologi dan kem pemilihan.

Para peserta akan memulakan program dengan menyertai Sidang Kemuncak Pemimpin Belia Jepun-ASEAN pada 1 Nov sebelum memulakan pelayaran ke Vietnam, Thailand, Singapura, Indonesia sebelum kembali semula ke Jepun.