KANGAR - Persatuan Isteri dan Kakitangan Wanita (Piskanita) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya mengumpul dana lebih RM8,000 bagi membantu  golongan asnaf menyediakan kelengkapan persekolahan sesi 2019.

Program berkenaan merupakan  kerjasama Piskanita dengan 3rd Force Perlis dan 3rd Force UniMAP yang mana turut melibatkan RM2,000 daripada tabung persatuan itu sendiri.

Timbalan Pengerusi Piskanita, Siti Rukiah Ikhsan  berkata, seramai 55 pelajar sekolah rendah dan menengah daripada 22 keluarga dibawa membeli kelengkapan
persekolahan di sekitar bandar ini.

Katanya, selain asnaf sekitar negeri ini Piskanita turut membantu 29 anak-anak staf UniMAP dalam usaha membantu staf yang kurang berkemampuan di samping meringankan beban mereka.

"Setiap pelajar ini diberi peruntukan bagi membeli sepersalinan uniform sekolah, kasut, stoking, tudung dan seluar sukan dengan dibantu kira-kira 13 sukarelawan  Piskanita sepanjang sesi membeli- belah ini,” katanya.

Sementara itu, seorang staf UniMAP, Mohd Nasir Haron berkata, dia berbesar  hati dengan bantuan yang dilaksanakan Piskanita kerana sedikit sebanyak dapat meringankan beban dalam membuat persediaan anak-anak bersekolah.

"Walaupun anak saya masih bersekolah rendah namun  banyak juga kelengkapan persekolahan perlu disediakan dengan taraf kehidupan yang semakin meningkat sekarang.

"Terima kasih kepada penyumbang dan Piskanita di atas inisiatif kepada golongan berpendapatan rendah,” katanya. 

Selain sumbangan individu, Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (POTENSI) Uni- MAP, Maxxx IT Global, Apiapi Ikan Bakar, Cenfotec dan Bebasnap Studio turut menaja perbelanjaan persekolahan berkenaan.