ARAU - Berikutan mempunyai kepakaran mengadakan kem dalam Bahasa Inggeris, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Perlis (PTSS) menjayakan Asean Tvet Youth Camp di Krabi Polytechnic College, Thailand pada 23 hingga 26 September lalu.

Asean Tvet Youth Camp ini merupakan satu usaha berterusan PTSS bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) Thailand untuk memperkasakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan antarabangsa kepada pelajar-pelajar dari Thailand.

PTSS diminta oleh pihak Krabi Polytechnic College untuk memberikan tunjuk ajar kepada pelajar dari institusi tersebut cara bertutur dan mengadakan aktiviti dalam Bahasa Inggeris.

Pegawai Pengantarabangsaan PTSS, Azlida Ahmad berkata, pada Asean Tvet Youth Camp kali ini, pihak PTSS dengan kerjasama pelajar PTSS sendiri telah mengadakan dua aktiviti iaitu Fun English dan Volley Friendly Match.

"Dalam kedua-dua aktiviti, pelajar PTSS dikehendaki bercakap bersama pelajar Thailand dalam Bahasa Inggeris di mana diadakan kumpulan berdiskusi,” katanya.

Menurutnya, di samping itu, diadakan juga perlawanan persahabatan antara pelajar PTSS dan pelajar Krabi Polytechnic College, Thailand dengan tujuan memupuk silaturahim di antara pelajar kedua-dua negara.

"Saya berharap aktiviti seumpama ini akan diteruskan lagi di masa hadapan kerana ia akan membuka minda pelajar PTSS sendiri dengan melihat kehidupan pelajar di negara lain.

"Ia juga akan memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris pelajar-pelajar itu sendiri dengan bertutur dalam bahasa itu tanpa merasa malu walaupun berada di negara lain," katanya.

Turut hadir bersama beliau dalam kem tersebut ialah Pensyarah Utama, Amyzah Ahmad.