KANGAR - Persatuan Amal Bakti Kayang dan Pusat Khidmat Dun Kayang mencari dana bagi membina sebuah pondok menunggu di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Ali melalui Program Jiwa Murni yang berlangsung, di sini petang kelmarin.

Pengerusi Program Jiwa Murni, Areff Affdy Ariffin berkata, pembinaan pondok menunggu ini adalah untuk kemudahan ibu bapa yang menunggu anak mereka keluar dari sesi persekolahan.

“Memandangkan sekarang ini musim panas, ibu bapa boleh berteduh di pondok ini sementara menunggu anak-anak keluar sekolah,” katanya.

Pondok menunggu untuk ibu bapa yang sedang dibina.

Areef Affdy berkata, bahan binaan pondok diperoleh dari beberapa syarikat kontraktor bahagian Kangar.

“Saya bersyukur kerana ramai pihak tampil membantu menyiapkan kerja amal ini.

“Saya berharap pembinaan pondok ini dapat memberikan sedikit keselesaan kepada ibu bapa,” katanya.

Sementara itu, seorang waris pelajar SMK Dato Ali, Rohim Shariff, 45, berkata, pembinaan pondok menunggu ini adalah satu kerja amal yang mulia.

“Lepas ni bolehlah kami mak ayah tunggu di tempat teduh sementara anak-anak nak keluar,” katanya kepada Sinar Harian.

Hadir sama, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man merasmikan pondok menunggu berkenaan.