ARAU - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menggesa masyarakat menjadikan sains dan inovasi sebagai budaya untuk melahirkan penyelidik muda yang kreatif demi kesejahteraan manusia.

Sehubungan itu baginda mahu ibu bapa memperkenalkan dunia sains dan inovasi kepada anak mereka dalam usia yang muda selain rajin membawa mereka mengunjungi pameran sains dan inovasi.

"Minat kanak-kanak terhadap sains dan inovasi akan lebih subur sekiranya mereka diberi galakan dan dididik dengan cara positif dari usia muda," titah baginda. Tuanku Syed Faizuddin bertitah sempena majlis penutup 'Perlis Engineering Research Learning and Innovation Symposium (PERLIS 2.0) 2016' di Dewan Kecemerlangan UniMAP di sini, malam tadi.

Berangkat sama pada majlis itu, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan baginda berdua disambut Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal.

Baginda yakin penekanan terhadap pertandingan sains reka cipta sebagai cara untuk menggilap bakat dan potensi murid-murid dalam bidang sains dan inovasi akan lebih berjaya khususnya untuk mengasah minda kemahiran pelajar.

"Simposium ini penting kerana ia berharap dapat melahirkan ramai penyelidik muda memberi idea yang lebih segar, kreatif dan inovatif bagi menyelesaikan pelbagai permasalahan masyarakat dan alam sekitar hari ini," titah Tuanku Syed Faizuddin.

‎Simposium tahunan kali kedua itu anjuran Institut Kajian Strategik, Kepimpinan dan Komuniti UniMAP dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Perlis serta Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia (MyRIS).

‎Sebanyak 24 produk‎ yang dihasilkan oleh 11 sekolah menengah dan empat sekolah rendah dari seluruh Perlis mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.- Bernama