BAGAN - Detik bermakna buat 52 pelajar di Sekolah Pendidikan Khas Harapan, Persatuan Kanak-kanak Terencat Akal (Pektas) Seberang Perai Utara, Mak Mandin tatkala Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan melawat ke sekolah itu petang kelmarin.

Sekolah Pendidikan Khas yang beroperasi selama 40 tahun itu turut mendapat pujian daripada baginda apabila beroperasi dengan jayanya.

Baginda bertitah, objektif utamanya untuk menyediakan pendidikan asas dan kemahiran hidup kepada pelajar OKU bagi kategori terencat akal.

“Malahan segala perbelanjaan mengurus pusat ini yang datangnya daripada sumbangan orang ramai dalam keadaan terhad.

“Namun ia tidak sedikit pun mematahkan semangat pentadbirnya untuk memberi pendidikan kepada pelajarnya. Ia merupakan satu usaha murni yang perlu disokong semua pihak,” titah
baginda.

Dalam sesi lawatan itu baginda turut menyumbang RM3,000 sebagai derma untuk sekolah ini.