ARAU - “Saya bersyukur kerana dengan wujudnya Rumah Ngaji ini, secara tak langsung kita boleh pupuk hubungan manusia dengan al-Quran,” demikian kata pengetua Maahad Tahfiz Al Hikmah, Arau, Abdul Rahim Kamis, 27, selepas maahadnya terpilih sebagai Rumah Ngaji pertama di Perlis.

Menurut Abdul Rahim, Maahad Tahfiz Al Hikmah yang wujud sejak enam tahun lalu mempunyai 140 pelajar dari seluruh negeri. “Rata-rata pelajar di sini berumur lingkungan 11 hingga 16 tahun. Kita akan buka kelas pada setiap hari kepada masyarakat luar untuk datang mengaji.

“Jangan malu, yang tak tahu mengaji kita akan ajar daripada asas,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Warisah Ummah Ikhlas, Datuk Abdul Jalil Ali yang melancarkan Rumah Ngaji di maahad berkenaan, 1 Mac lepas, berharap menerusi program itu, masyarakat bukan sahaja mengenali al-Quran, malah suka membaca, memahami maksud, menghayati seterusnya mengamalkan apa yang dibaca daripada kitab suci tersebut.

Abdul Rahim (kanan) menyerahkan cenderamata kepada Abd Jalil.

“Masyarakat setempat perlu jadikan Rumah Ngaji ini sebagai satu peluang untuk belajar mengaji daripada asas. Ini adalah usaha kita untuk mengembangkan ilmu al-Quran dalam masyarakat,” katanya.

Penduduk, Azimmi Yahya, 69, berkata, dia selalu datang ke maahad tahfiz berkenaan untuk mendengar ceramah.  “Boleh dikatakan setiap hari makcik datang berjemaah pada waktu Maghrib dan Isyak  selain dengar ceramah.

Lepas ni bolehlah makcik datang untuk mengaji al-Quran pula,” katanya.