KANGAR - Masyarakat sekitar negeri ini disaran menyokong usaha-usaha mengukuhkan pendidikan Islam dengan menghantar anak-anak ke pusat pendidikan awal kanak-kanak berteraskan Islam.

Pesuruhjaya Pas Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, masalah sosial yang melanda negara kini berpunca daripada pengabaian pendidikan agama.

“Masyarakat perlu kembali kepada Islam kerana Islam adalah agama fitrah dan mempunyai penyelesaian walaupun dalam negara berbilang kaum.

"Lihat jati diri Khairul Idham Pawi, yang viral kerana mengelak semburan arak ketika meraikan kejuaraan Moto GP di litar Argentina baru-baru ini. Beliau adalah Alumni Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti),” katanya ketika ditemui semasa program Alam Ria Pasti 2016 di pasaraya Giant, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Pasti Kangar, Mohd Tarmizey Mohamad melahirkan keyakinan tinggi berdasarkan sokongan masyarakat terhadap sistem pendidikan Islam pra sekolah itu.  

“Sekarang kami mempunyai 14 rangkaian Pasti di seluruh Parlimen Kangar, tahun hadapan kami akan membuka dua lagi cawangan bagi memenuhi permintaan masyarakat,” katanya.

Tambah beliau, program Alam Ria Pasti 2016 kawasan Kangar diadakan bagi mencungkil bakat, membina karakter dan penampilan karismatik anak-anak.

Lapan acara dipertandingkan termasuk pertandingan hafaz al-Quran, bercerita, berkhutbah, pidato, membaca sajak dan nasyid.