Sekolah diberi kebenaran untuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) bergantung kepada persekitaran dan keperluan sekolah dari semasa ke semasa.

Timbalan Menteri Pendidikan, Muslimin Yahaya berkata, kementerian memberi peluang kepada sekolah untuk menambah baik SOP dan tidak semestinya hanya berlandaskan garis panduan yang sedia ada.

"Sebelum ini ketika bangunkan SOP pembukaan sekolah berdasarkan simulasi dan bukanya berdasarkan pengalaman.

"Tempoh dua hari ini adalah tempoh praktikal untuk kita melihat keadaan sebenar dan garis panduan (SOP) yang dikeluarkan, dianggap sebagai teori sahaja,” katanya kepada Bernama ketika melakukan lawatan kerja di sekolah Sukan Negeri, sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan, di sini semalam.

Muslimin berkata, beliau berpuas hati dengan pematuhan SOP pembukaan sekolah di Perlis, berdasarkan lawatan di beberapa buah sekolah di negeri itu.

"Dari segi keselamatan pelajar, saya melihat sekolah sangat komited dan saya yakin apa yang dilakukan oleh pihak sekolah yang dipantau oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPN),” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain Muslimin berkata, pihaknya akan berusaha sedaya upaya meneruskan projek pembinaan sekolah Sukan Malaysia Perlis di Bukit Chabang, yang terbengkalai sejak lapan tahun lalu. - BERNAMA