PADANG BESAR - Sekolah Rendah Islam III Felda Chuping Padang Besar menawarkan ganjaran bercuti ke Langkawi dengan menaiki kapal terbang kepada murid yang memperoleh 6A dalam UPSR.

Guru Besarnya, Khairuddin Abdul Manap berkata, ganjaran itu sebagai perangsang kepada murid supaya memperoleh 6A dalam UPSR yang sedang berlangsung ketika ini.

Menurutnya, idea ganjaran itu hasil perbincangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

“Apabila idea ini diutarakan kepada saya dan saya lihat idea ini bakal memberi impak yang baik kerana pelajar pastinya bersemangat untuk memperoleh kejayaan,” katanya.

Tambah Khairuddin, sekolah berkenan hanya mempunyai 199 murid dan 32 daripadanya adalah calon menduduki UPSR.

“Kebanyakan murid di sini dari golongan luar bandar yang tidak pernah terdedah dengan pengangkutan awam seperti kapal terbang ini,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG, Rashdan Rashid ketika ditemui berkata, idea itu bertujuan memberi pendedahan kepada murid mengenai pengangkutan awam.

Pelajar yang berjaya mendapat 6A akan dibawa dari Arau ke Pulau Pinang dengan menaiki kereta api dan dari Lapangan Terbang Pulau Pinang menaiki kapal terbang ke Langkawi serta menginap di sana selama semalam dan pulang semula ke Perlis dengan menaiki feri.

“Kita amat  berharap pencapaian peratus kecemerlangan UPSR bagi sekolah kita meningkat pada tahun ini, dengan adanya tawaran ganjaran seperti ini,” katanya.