KANGAR - Sebuah lagi sekolah di Kuala Sanglang diarah tutup oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO) yang dikuatkuasakan sejak malam tadi, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata penutupan Sekolah Jenis Kebangsaan Chin Hun, sekolah ketiga yang diarah tutup di negeri itu, juga adalah selama dua minggu bermula esok hingga 23 Ogos ini.

“Penutupan selama dua minggu tiga sekolah terbabit melibatkan 876 murid dan 112 guru,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.

Bernama semalam melaporkan Jabatan Pendidikan Negeri itu mengarahkan dua sekolah ditutup iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Sanglang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Sanglang.

Mengulas lanjut, Azlan berkata guru-guru terlibat diwajibkan menjalani Perintah Pengasingan Di Rumah (HIO) selama tempoh tersebut.

Beliau berkata selain itu, 15 pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi di sini yang tinggal di dua kampung terlibat iaitu Kampung Tanah Timbul dan Kampung Kuala Sanglang yang akan menjalani peperiksaan mulai 12 Ogos ini, telah pun disediakan tempat tinggal sementara di asrama sekolah dan tempat tinggal alternatif lain berhampiran.

Kerajaan Negeri Perlis melaksanakan TEMCO selama 28 hari bermula 10 malam tadi di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Sehingga semalam, Perlis mencatatkan jumlah kumulatif 30 kes positif COVID-19 dengan 11 daripadanya merupakan jangkitan daripada  Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga yang bermula di Napoh, Kubang Pasu, Kedah.

BERNAMA

Artikel menarik:

Lebih banyak sekolah di Kuala Sanglang mungkin ditutup - EXCO

Murid ini bawa balik baki tembikai RMT untuk adik-adiknya di rumah. Cikgu Esmimi sebak!

'Inilah sembilan pesanan yang saya pegang ketika goyah, lemah dan berdepan ujian' - Ustazah Aminah