KANGAR - Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Kangar muncul juara pertandingan Kuiz Sejarah Kemerdekaan sekolah-sekolah menengah peringkat negeri Perlis dengan  mendapat 28 markah, semalam.

Pertandingan akhir yang diadakan di Auditorium Perpustakaan Awam Negeri, di sini, dianjurkan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis dengan kerjasama Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) cawangan Perlis.

Setiausaha PSM Perlis, Abd Hadi Shariff berkata, soalan-soalan yang dikemukakan kepada peserta berdasarkan buku teks sejarah tingkatan 5 pada bab 5 hingga bab 7 yang mempunyai sumber khusus berkaitan kemerdekaan negara.

"SMK Agama Kangar berjaya mengalahkan Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra Kangar tempat kedua dengan 22 markah dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma
Kangar tempat ketiga dengan 21 markah.

"Johan pertandingan ini menerima hadiah wang tunai RM700 dan sijil, tempat kedua RM500 dan sijil sementara tempat ketiga RM300 dan sijil di samping peserta terbaik, Nur Darina
Che Ahmad Shakri dari SMK Derma menerima hadiah wang tunai RM100," katanya.

Seramai 98 pelajar tingkatan empat dari 22 sekolah menengah seluruh Perlis menyertai pertandingan peringkat saringan di SMK Tengku Sulaiman, Tunjong pada 1 Oktober lalu.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan Perlis, Saripah Aton. Turut hadir, Pengarah Perpustakaan Awam Perlis, Machita Othman dan Pengerusi PSM cawangan Perlis, Datuk Yazid Mat.