KANGAR - Bekas pelajar Sekolah Menengah Syed Sirajuddin tahun 1976 hingga 1980 menganjurkan majlis pertemuan semula sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini.

Ahli Jawatankuasa Program, Sarudin Husin, 54, berkata, Majlis Sirih Pulang Ke Gagang itu diadakan di Dewan Terbuka SMK Syed Sirajuddin, Jejawi dengan kehadiran 29 orang bekas pelajar.

Menurutnya, dia mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang hadir kerana walaupun sibuk dengan sambutan raya, mereka masih sudi meluangkan masa untuk memeriahkan majlis.

“Majlis ini antara usaha untuk mengekalkan silaturahim yang sekian lama terjalin sejak alam persekolahan.

“Kebanyakan dalam kalangan kami masih bekerja dan tidak kurang juga yang bersara awal, malah sebahagian besar juga telah menjadi datuk dan nenek,” katanya.