KANGAR - Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail, anakanda kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, semalam dimasyhurkan sebagai Ikon Buku Perlis, bagi menarik perhatian kanak-kanak di negeri itu untuk membudayakan minat membaca.

Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail menerima pemasyhuran itu pada program Seronoknya Membaca Edisi Bangun Jiwa  yang diadakan bersempena Kembara Titah, Hari Keputeraan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ke-75 di sini.

Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Abd Wahab Ibrahim berkata,  baginda dipilih sebagai ikon kerana aura yang ada pada ‘pemimpin kecil’ itu  dilihat mampu menarik minat para pelajar mencontohi hobi baginda yang suka membaca.

”Sebagai bakal pemimpin pada masa hadapan baginda mempunyai tarikan  tersendiri dan diharap dengan inisiatif ini kanak-kanak akan lebih tertarik untuk membaca,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Selain menggalakkan kanak-kanak membaca, pelbagai aktiviti seperti pertandingan mewarna, bercerita kisah nabi, susun kad kata dan pintar jawi diadakan sepanjang program tiga hari yang bermula semalam.

Tuanku Syed Faizuddin dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan berangkat memeriahkan program itu. - Bernama