KANGAR - Ketika rakan seusia lain melalui alam persekolahan, empat beradik ini hanya mampu memandang sepi.

Ketiadaan kad pengenalan membuatkan mereka yang tinggal di Jalan Raja Syed Alwi di sini tidak dapat ke sekolah.

Menurut ibu tiri mereka, Shamsinar Din, 32, dia simpati dengan nasib kesemua anak tirinya yang tidak dapat bersekolah kerana masalah tersebut dan runsing memikirkan masa depan mereka.

“Mereka tak ada kad pengenalan sebab suami saya dan bekas isteri bernikah di Thailand. Lepas tu sijil nikah pula hilang. Disebabkan sijil hilang, jadi kelahiran mereka tidak dapat didaftarkan.

“Lepas suami bercerai dengan bekas isterinya, baru saya tahu anak-anak tak ada kad pengenalan dan saya rasa bertanggungjawab bantu mereka," katanya.

Bagaimanapun Shamsinar berkata, kesemua anak tirinya, Nur Farina Ellyana, 15; Nur Fatin Farhana, 12; Muhamad Farewz Farhan, 9 dan Nur Puteri Farisha, 5, boleh membaca dan menulis walaupun langsung tidak pernah ke sekolah.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man turut melawat adik beradik berkenaan dan beri jaminan untuk bantu mereka mendapatkan kad pengenalan.

Selain itu, kata beliau, pihaknya juga membawa kesemua adik beradik tersebut membeli pakaian sekolah bagi membolehkan mereka memulakan sesi persekolahan dengan segera.