ARAU - Tiga pelajar perempuan Sekolah Menengah (SM) Tuanku Syed Putra di sini berjaya mengharumkan nama negara apabila menjuarai pertandingan mencipta inovasi baru yang berlangsung di Instanbul International Invention Fair (ISIF), Turki baru-baru ini.

Menurut guru pembimbing, Datin Noridah Yangman, setiap tahun sekolah tersebut akan mengadakan pertandingan ‘research development’ yang akan  disertai pelajar.

“Ini adalah budaya sekolah di mana saban tahun akan ada kajian baru daripada pelajar,” katanya ketika ditemui.  Menurutnya, tahun ini pihak sekolah memilih hasil kajian terbaik iaitu ciptaan baja organik oleh tiga pelajar tingkatan lima iaitu Puteri Nur Farahliana Mansor, Ilyana Syafiqa Md Saad dan Sarah Nordini Sabry. Kesemuanya berusia 17 tahun.

Menurut Noridah, kumpulan bimbingannya ini menghasilkan kajian baru berkaitan baja organik hasil idea tiga pelajar itu sendiri. “Mereka menggunakan lampin pakai buang di mana bahan dikisar untuk dijadikan baja organik,” katanya.

Noridah berkata, selain berfungsi sebagai baja organik, inovasi baru ini juga berfungsi untuk menyimpan air. “Oleh itu, peladang atau petani yang menggunakan baja  ini tidak perlu menyiram air terlalu kerap kerana baja ini
turut menyimpan air.

“Saya dan pihak sekolah telah membimbing mereka dengan melakukan penambahbaikan ke atas kajian dan hasilnya mereka menang pertandingan di Turki,” katanya. 

Kemenangan di Turki membolehkan mereka membawa pulang sijil anugerah dari China, HAG German Awards  dan Women Inventors Certificate. “Sebanyak 23 negara terlibat dan Alhamdulilah kemenangan milik anak
Perlis.

“Saya berharap inovasi baja organik ini dapat dikomersialkan supaya ia tidak disia-siakan,” katanya.