BUKIT MERTAJAM - Sebanyak 114,759 kilogram (kg) bahan kitar semula berjaya dikumpulkan dalam kempen kitar semula anjuran F&N dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Program yang dianjurkan kali ke dua oleh badan korporat itu bersama pihak berkuasa tempatan berjaya menarik 52 penyertaan.

Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Holding Bhd, Cariessa Goh berkata, program dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar dan Tetra Pak Sdn Bhd itu bertujuan mendidik pelajar untuk mengambil inisiatif dan memikul tanggungjawab dalam memberikan perlindungan alam sekitar pada usia muda.

Menurutnya, program berkenaan mendedahkan kepada pelajar mengenai falsafah 8R iaitu rethink (fikir semula), refuse (jangan guna), reduce (kurangkan), reuse (gunakan semula), repair (baiki), re-gift (hadiahkan), recover (jana semula) dan recycle (kitar semula).

"Penganjuran kali ini berjaya menarik 52 penyertaan berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 38 sekolah sahaja terlibat dan hasil kutipan bahan kitar semula juga melebihi dua kali ganda yang mana pada tahun lalu kita hanya berjaya mengumpulkan 54,090kg bahan kitar semula.

"Kempen dianjurkan bermula 1 Januari sehingga 30 September lalu bukan sahaja membantu mendidik pelajar menjadi pencinta alam tetapi juga mendorong daya kreativiti mereka dalam menghasilkan sesutu ciptaan daripada bahan terbuang itu," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah pertandingan kitar semula 2018 yang diadakan di Ibu Pejabat MPSP, semalam.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan, Exco Alam Sekitar, Phee Boon Poh.

Sebanyak empat ketegori dipertandingkan di tiga peringkat prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah iaitu berat perkapita tertinggi, anugerah bagi kutipan aluminium tertinggi, anugerah khas bagi kutipan plastik tertinggi dan anugerah khas kutipan kotak minuman tertinggi.

Pada tahun ini, penganjur juga menambah satu kategori baharu iaitu pertandingan sudut kitar semula kreatif dan pertandingan mencipta barangan upcycle daripada kotak minuman.

Sementara itu, Cariessa berkata, program ini diadakan bagi menyokong usaha kerajaan negeri mewujudkan sistem pengurusan sisa pepejal bersepadu yang mesra alam.

Katanya, Pulau Pinang mencatatkan kadar kitar semula tertinggi di Malaysia pada paras 38 peratus iaitu mengatasi kadar kitar semula kebangsaan.

Tambahnya, kadar kitar semula di kawasan Seberang Perai juga meningkat 22 peratus pada 2008 kepada 43.25 peratus pada 2017.