PULAU PINANG - Pulau Pinang memandang serius isu berkaitan maahad tahfiz yang tidak berdaftar di negeri ini.

Timbalan Pendaftar Sekolah Sekolah Islam Negeri Pulau Pinang, Nazzer Abdul Hamid berkata, ada 15 maahad tahfiz yang tidak berdaftar di negeri ini.

"Kesemua yang dikesan membabitkan daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, Timur Laut dan Barat Daya.

"Maahad tahfiz yang tidak berdaftar ini dikesan beroperasi sejak tahun lepas, siasatan mendapati tidak berdaftar disebabkan tidak cukup syarat dari sudut  kelayakan guru, kewangan dan keselamatan bangunan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian di Pusat Kegiatan Guru Padang Menora, Kepala Batas semalam.

Katanya, soal melibatkan maahad tahfiz yang tidak berdaftar ini merupakan perkara yang dipandang serius oleh Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

"Isu tidak berdaftar ini bukan isu yang baru, pemantauan dan siasatan telah mula digiatkan sejak empat tahun yang lepas.

"Kita mengingatkan maahad tahfiz yang tidak berdaftar  ini boleh diambil tindakan tegas di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah Sekolah Agama Islam(Pulau Pinang) 1989," katanya.

Menurutnya, maahad tahfiz yang tidak didaftar dikhuatiri memberi pelbagai  masalah kepada pelajar.

"Ia melibatkan pelbagai kesan melibatkan arah tuju pelajar setelah menamatkan pengajian, sukatan pelajaran yang digunakan, kelayakan guru sama ada benar-benar
berkelulusan dan ini sekali gus melibatkan masa depan pelajar itu.

"Kita meletakkan syarat mana-mana maahad tahfiz yang ditubuhkan, jawatankuasanya perlu terdiri daripada individu yang dicadangkan jawatankuasa masjid di kawasan maahad tahfiz yang ditubuhkan itu, dan masa sama kita turut menitik beratkan aspek keselamatan bangunan yang diduduki," katanya.

Tegasnya, persepsi terhadap apa yang dilakukan Bahagian  Pendidikan JHEAIPP ini perlu diubah.

"Ada yang mengatakan prosuder yang dikenakan terhadap mana-mana pihak yang ingin menubuhkan maahad tahfiz ini terlalu ketat dan berdepan dengan pelbagai karenah sedangkan apa  yang menjadi hasrat kita adalah kita tidak mahu sesebuah maahad tahfiz itu ditubuhkan semata-mata berkonsep keuntungan.

"Kita sedaya upaya melakukan pelbagai kaedah untuk memastikan kesemua maahad tahfiz di negeri ini sentiasa diberi perhatian meliputi kursus kepada pengusaha dan guru-guru, dan masa sama perhatian kepada pelajar- pelajar yang mendapatkan pendidikan di sesebuah maahad tahfiz itu," katanya.

Dalam pada itu, Bahagian Pendidikan JHEAIPP bakal mengadakan program Haflu  Takrim Hamalatil Quran dalam meraikan tahfiz-tahfiz dan penghafaz al-Quran di
negeri ini.

"Program ini akan menghimpunkan kesemua maahad  tahfiz dalam negeri Pulau Pinang serta para penghafaz al-Quran, bertujuan untuk mengeratkan kerjasama dan perhubungan antara penghafaz, institusi tahfiz, masyarakat dan juga JHEAIPP.

"Sebelum ini, program berkenaan dikenali sebagai  Ijtima Huffaz yang diadakan November tahun lalu di Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas dan kali ini ia akan diadakan di Masjid Guar Perahu pada penghujung Oktober depan," katanya.