BUTTERWORTH – Seramai 55 murid Sekolah Kebangsaan Mak Madin (SKMM) menerima watikah pelantikan sebagai pengawas sekolah bagi sesi 2018.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SKMM, Shamsul Bahari Abd Talib berkata, mereka yang dilantik merupakan pemimpin kecil yang berjaya menonjolkan bakat dan potensi diri.

“Kita meneliti setiap daripada mereka sebelum melantik sebagai seorang pemimpin yang bakal menjadi  contoh kepada murid yang lain.

“Mereka yang dilantik bukan saja cemerlang dalam bidang akademik, malah turut aktif dalam bidang sukan dan kokurikulum,” katanya.

Majlis penyampaian watikah pelantikan pengawas itu diadakan di tapak perhimpunan sekolah dengan disempurnakan  wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Seberang Perai Utara.

Menurutnya, kehadiran anggota beruniform ke sekolah juga adalah bertujuan memberi motivasi kepada semua murid supaya lebih berdisiplin.

“Saya harap mereka dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan sebaik mungkin dan terus berusaha dalam pelajaran untuk dapat keputusan cemerlang,” katanya.

Sementara itu, wakil murid, Nurkaiyisah Abdullah, 9, turut berkongsi pengalaman apabila pertama kali dilantik sebagai pengawas sekolah.

“Saya rasa seronok jadi pengawas. Boleh jadi contoh kepada kawan-kawan dan tolong cikgu.

“Mak dengan abah pun selalu bagi nasihat, suruh belajar betul-betul,” katanya.