KEPALA BATAS - "Setiap kali selepas solat, saya akan peruntukkan masa untuk membaca al-Quran walaupun sekejap," itu cerita salah seorang pelajar cemerlang SPM 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al-Irshad, semalam.

Nursyamila Natasya Ahmad Nazri, 18, berkata, membaca al-Quran sememangnya menjadi amalannya setiap kali selepas solat.

“Memang selalu selepas solat, saya akan ambil sedikit masa untuk membacanya sekurangnya satu muka surat.

“Ia akan membuatkan saya lebih bersemangat ketika belajar, ilmu yang diajar oleh guru mudah difahami, selain sentiasa bersemangat untuk belajar,” katanya.

Menurutnya, ilmu perlu dikongsi bersama rakan-rakan.

“Kalau ada rakan yang tidak faham, saya akan cuba menerangkan kepada mereka, mengajar apa yang saya faham kepada mereka.

“Bagi saya kalau kita ajar kita akan lebih faham tentang ilmu yang kita ajar tu, dalam masa sama rakan yang kita ajar juga akan faham, jadi ilmu akan jadi lebih berkat,” katanya.

Anak sulung daripada tiga beradik ini berkata, dia juga akan memperuntukkan masa mengulang kaji sedikit info tentang apa yang akan diajar guru sebelum guru masuk mengajar.

“Dalam kelas sebelum cikgu masuk belajar tu memang saya bersedia awal-awal sebelum cikgu masuk, belajar sikit-sikit dulu, sebelum cikgu mengajar.

“Jadi bila cikgu ajar tu saya dah boleh faham apa yang diajarkan, saya tinggal di asrama, kalau malam-malam saya akan bersama kawan-kawan belajar dekat dalam dorm,” katanya.

Rakannya, Muhamad Amir Azizan, 18, berkata, dirinya tidak menyangka akan memperoleh 11A dalam SPM 2017 ini.

“Memang saya tak sangka, hanya ALLAH saja yang tahu perasaan saya ketika ini, syukur tidak terhingga atas segala kurniaan ini.

“Pada saya, ini merupakan hadiah yang amat bermakna buat ibu, ayah, guru dan semua rakan serta keluarga tercinta,” katanya.

Dalam pada itu, SMKA Al-Irshad merupakan antara 10 sekolah yang mencatatkan Gred Prestasi Sekolah terbaik bagi peringkat negeri Pulau Pinang.

Pengetuanya, Md Isa Abdul Rahman berkata, dirinya mengucapkan terima kasih kepada keseluruhan warga SMKA Al-Irshad atas kejayaan ini.

“Apabila SMKA Al Irshad mencapai pencapaian cemerlang, terdetik hati saya rasa bangga, terima kasih kepada semua di atas kejayaan ini.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada mantan pengetua yang lalu, Abdul Razak Othman, yang telah bertungkus lumus dan di bawah kepimpinannya, sekolah telah berjaya melonjak mencapai kejayaan ini,” katanya.