BUKIT MERTAJAM - Bilik guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Keng Koon, Bukit Tambun di sini hangus dalam kebakaran, awal pagi semalam.

Kejadian pada jam 6.30 pagi itu, mengakibatkan hampir keseluruhan struktur bangunan bilik berkenaan musnah sepenuhnya.

Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berikutan ketika kebakaran tiada sesiapa yang berada di dalam kawasan sekolah.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat  Pulau Pinang, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada orang awam terus bergegas ke lokasi kejadian bagi melakukan kerja pemadaman.

Menurutnya, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai  Bakap dan Perai ke sekolah terbabit dan mendapati kebakaran telah memusnahkan lebih 80 peratus peralatan dalam bilik berkenaan.

"Antara yang musnah seperti perabot dan barangan elektronik yang  ditempatkan di dalam bilik guru besar  berkenaan.

"Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 7.23 pagi dan  dibantu beberapa pasukan bomba  sukarela," katanya.