KEPALA BATAS - “Ada  yang sudah rosak dan perlu digantikan.” Itu luahan warga Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Ahmad Badawi mengenai surau sekolah itu yang disifatkan sudah uzur dan perlu dinaiktaraf.

Surau yang dibina sejak 80-an itu tidak lagi dapat menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Datuk Haji Ahmad Badawi, Muhammad Radzi Jamaludin berkata, surau yang sedia ada ini sudah berusia hampir 35 tahun.

“Pelajar di sekolah ini hampir 1000, namun keadaan surau agak uzur dan membataskan aktiviti pelajar.

“Buat masa ini, aktiviti yang melibatkan pendidikan Islam diadakan di surau ini seperti amali pengurusan jenazah, solat hajat, dan pelbagai lagi aktiviti lain,” katanya.

Menurutnya, sudah tiba waktunya surau ini diberikan nafas yang baharu dan dinaiktaraf dengan sewajarnya.

“SMK Datuk Haji Ahmad menjadi sebuah sekolah pilihan di kawasan ini, dan sesuai dengan kedudukan, selain itu sekolah ini juga mencatatkan keputusan yang baik dalam peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

“Alhamdulillah, sekolah ini menjadi pilihan ibu bapa  menghantar anak mereka di sini dan dari segi bilangan pelajarnya makin bertambah, jadi  surau ini perlu dinaiktaraf,” katanya.

Lancar kutipan sumbangan

Dalam pada itu, katanya, pihak PIBG dan sekolah telah melancarkan program kutipan sumbangan bagi merealisasikan hasrat itu.

“Program dilancarkan hampir dua bulan dan Alhamdulillah setakat ini kutipan sudah mencecah RM7,998.

“Dari segi kos dianggarkan RM550 000 diperlukan untuk naik taraf surau,” katanya.

Tambahnya, pihaknya mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak.

“Dalam usaha ini, bantuan seluruh pihak termasuk ibu bapa, tokoh korporat dan pelbagai pihak lain amat dialu-alukan.

“Insya-ALLAH, dengan tercapainya hasrat ini, ia akan memudahkan dan melancarkan lagi aktiviti-aktiviti pelajar di SMK Datuk Haji Ahmad Badawi ini,” katanya.

Jelasnya, sumbangan juga dapat disalurkan dalam pelbagai kaedah dan bukan sahaja dari segi wang semata-mata.

“Jika ada pihak yang mahu menghulurkan sumbangan dari segi wang amat dialu-alukan, dan kalau ada yang mahu menghulurkan dari segi bahan pembinaan dan barangan turut dialu-alukan.

“Pihak kami menerima dengan hati terbuka sumbangan daripada mana-mana pihak dalam merealisasikan hasrat ini,” katanya.Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam 07-043-01-105174-9  atas nama PIBG SMK Datuk Haji Ahmad Badawi atau hubungi  04-5751142.