BAYAN LEPAS - "Rasa nak rebah dan menangis atas pentas tadi sebab terperanjat. Tak sangka ciptaan inovatif yang saya namakan Beezy Whizzy dipilih sebagai pemenang keseluruhan."

Itulah perasaan yang dirasakan oleh Julianty Idris, 39, selepas merangkul dua anugerah sempena Festival Guru Malaysia (FGM) 2019 di Pusat Konvensyen Setia Spice di sini hari ini.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Rumbia, Alor Gajah, Melaka itu menang bagi kategori Guru Inovatif Individu Prasekolah selain dinobatkan sebagai johan keseluruhan.

"Beezy Whizzy memfokuskan kepada kaedah pembelajaran riang atau fun learning untuk murid-murid prasekolah belajar mengenai matematik, fizikal sains, bahasa Melayu dan lain-lain.

"Kaedah pembelajaran Beezy Whizzy itu ialah ia banyak melibatkan sentuhan dan rasa pada benda yang wujud dan ia lebih cepat dipelajari oleh kanak-kanak kerana mereka akan cepat belajar jika berasa seronok," katanya ketika ditemui di sini.

Julianty membawa pulang hadiah RM2,000 dan sijil yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Amin Senin yang mewakili Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik.

Hadir sama Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Aminudin Adam dan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat.

Artikel lain:

Enam guru ini terima bantuan YGMB pada Festival Guru Malaysia 2019

Yayasan Guru akan beri wang saku kepada warga KPM yang ke Tanah Suci menerusi YGMB Travel

Kenyataan sebenar mengenai keperluan guru bukan opsyen Bahasa Inggeris ambil MUET

Guru Bahasa Inggeris perlu duduki MUET untuk kenal pasti tahap penguasaan