BAYAN LEPAS - Seorang guru berputih mata selepas ditipu sebanyak RM358,350 oleh sindiket scam sejak Ogos lalu.

Semuanya bermula apabila  guru wanita dari Bayan Lepas itu mula berkenalan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Yusuf Ismail  Osman melalui laman  Facebook.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, lelaki itu memberitahu mangsa  yang berusia 53 tahun itu bahawa dia ada memberi hadiah kepadanya melalui pos.

Menurutnya, susulan daripada  itu, mangsa dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai  pegawai perkhidmatan kurier bernama Khalid.

“Lelaki itu mendakwa, mangsa mempunyai bungkusan hadiah dan  perlu membayar RM2,850 untuk  pembayaran duti import dan caj penghantaran. Mangsa yang  menyangka bungkusan itu dikirim oleh kenalannya yang bernama Yusof terus membayar wang berkenaan secara talian ke akaun seorang penama.

“Dia membuat pembayaran itu  ketika berada di sekolah tempat dia  mengajar. Selepas itu, suspek memberitahu bungkusan itu mengandungi  wang berjumlah 150 ribu AUD (RM451,3630) dan telah ditahan oleh kastam.

“Mangsa diberitahu suspek, sekiranya dia tidak menyelesaikan  masalah itu, mangsa akan dikenakan hukuman mengikut  Seksyen Akta Pengubalan Wang Haram,” katanya ketika dihubungi semalam.

Anbalagan berkata, mangsa yang ketakutan telah memasukkan  RM40,000 ke dalam akaun seorang penama secara berasingan di sebuah mesin ATM di Lapangan  Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 14 Ogos lalu.

“Mangsa turut memasukkan  RM60,000 pada hari sama di mesin ATM di Bayan Baru. Kemudian,  mangsa diberitahu suspek bahawa berlaku kesilapan pengiraan wang dalam bungkusan hadiah tersebut iaitu jumlah sebenar adalah RM 533,3920.

“Mangsa diminta membuat penambahan pembayaran berjumlah  RM 33,000. Pada 23 Ogos lalu, mangsa telah membuat pembayaran itu.

Suspek turut meminta mangsa membayar denda sebanyak RM25,000 kerana lewat membuat pembayaran sebelum ini.

“Selain itu, mangsa juga diminta memasukkan wang RM15,500  sebagai kos penghantaran dan mangsa mengikuti arahan itu yang mana, mangsa memasukkan  jumlah wang itu pada 6 September lalu,” katanya.

Tambahnya, dari 28 Ogos hingga  29 Oktober lalu, mangsa telah memasukkan wang sebanyak RM  107,500 untuk urusan pengeluaran bungkusan tersebut.

“Mangsa merasakan dirinya tertipu setelah bungkusan itu tidak diperolehinya dan suspek masih  memberitahu bahawa bungkusan itu sudah dihantar ke ibu pejabat
syarikat kurier di Kuala Lumpur.

“Anggaran keseluruhan mangsa  ditipu adalah RM358,350. Mangsa mendakwa, dia membuat transaksi ke pelbagai akuan bank tempatan di atas beberapa nama  individu yang berlainan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.