BAYAN LEPAS - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Kumbar 2 di sini kehilangan satu lagi permata berharga apabila Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Mohamed Yunus Mohamed Yusoff setelah beliau mengakhiri tugasnya sebagai pendidik pada 31 Januari lalu.

Telah berkhidmat selama 39 tahun dalam dunia pendidikan, Mohamed Yunus diraikan dalam majlis persaraan gilang gemilang yang bertemakan Kesultanan Melayu Melaka.

Ketua Badan Kebajikan Guru dan Staf, Muhamad Shaqree Zakaria berkata 2009 merupakan tahun yang bertuah buat SMK Teluk Kumbar 2 kerana menerima seorang guru yang sangat komited dan berdedikasi.

"Walaupun telah lima pengetua bertukar ganti, beliau masih setia di sini dengan keringat dan semangat yang dicurah tidak berbelah bahagi, bukan untuk dunia tahu.. bukan juga untuk pujian tetapi demi mengangkat darjat sebuah perkampungan nelayan yang tiada siapa peduli, beliau tegar mengabdi diri.

"Beliau bukan sahaja bijak menarik minat pelajar dalam kelas, malah sangat gemar melibatkan mereka dalam aktiviti riadah seperti berbasikal yang melibatkan juga komuniti sekeliling sekolah ini," katanya.

Katanya lagi, Mohamed Yunus juga amat dikenali dan dihormati seluruh warga Teluk Kumbar.

"Beliau seorang yang dikenal sebagai guru yang tegas, tetapi tidak lokek ilmu. Rakan sekerja yang tidak sulit apatah lagi menyulitkan, malah dipermudahkan jalan bagi mereka yang memerlukan bantuan.

"Ketokohan beliau tidak hanya gah bak menara tertinggi dalam dunia pendidikan, tetapi sehingga ke gelanggang luar yang menjadi sebahagian minat tegar beliau," jelasnya.

 

Mohamed Yunus melambai kepada warga SMK Teluk Kumbar 2 ketika diarak menaiki 'Hop on Hop off'.

 

Kata Muhamad Shaqree lagi, sedari zaman persekolahan lagi Mohamed Yunus bermula sebagai atlet yang kemudiannya beralih kepada penganjuran sukan terutama dalam bidang padang dan balapan.

"Nama Mohamed Yunus cukup masyhur dalam bidang sukan terutamanya di Universiti Sains Malaysia dan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Pulau Pinang.

"Tidak terhenti di takat itu, pengalaman dan kemahiran beliau turut dikehendaki di peringkat kebangsaan dan antarabangsa untuk acara seperti Penang Bridge Run dan The Star Walk setiap tahun," katanya.

Menurutnya, Mohamed Yunus juga pernah terlibat dengan Arafura Games di Darwin, Australia, The Commonwealth Games pada 1998 dan Asia Pacific Masters Games 2018 sebagai pegawai kanan.

"Beliau juga giat berpersatuan di luar dunia pendidikan yang telah menjadi tradisi keluarga sehingga membawa kepada penganugerahan Pingat Jasa Kebaktian atas jasa dan khidmat beliau yang penuh bertanggungjawab," katanya.

Lelaki bersemangat waja yang dilahirkan pada 2 Febuari 1959 merupakan putera sulung daripada tiga adik beradik kepada pasangan bahagia Mohd Yusoff Muhammad dan Aishah Mansoor.

Memulakan pengajian peringkat rendah di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) St Xavier dari 1966 hingga 1971.

Langkah diteruskan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Xavier dari tanggal 1972 hingga 1976.

Mengorak langkah pemula kepada pekerjaan sebagai seorang pendidik di Maktab Perguruan Ipoh, yang menjadi titik tolak kepada termakbulnya takdir hari ini sebagai guru yang cukup dikenali dan disegani.

Sekolah Kebangsaan (SK) Beris Panchor, Bachok, Kelantan sebagai sekolah pertama (1980-1983), SK Batu Melintang, Tanah Merah, Kelantan (1983-1985) dan SK Tanah Kebun, Parit Buntar, Perak pada 1985.

Sebaik sebelum kemuncak kejayaan dalam pekerjaan terus didaki, beliau bertemu dengan cinta hati yang menjadi paksi semangat dan pencetus iltizam sepanjang melayari bahtera kehidupan.

Beliau sah menjadi insan bertuah dan suami kepada Fatimah Mohamed Mohideen pada tanggal 24 November 1989.

Sepanjang menelusuri jalan kejayaan, Mohamed Yunus menyambung pelajaran peringkat ijazah di USM bermula pada 1994 hingga 1998.

Dengan berbekalkan keazaman, sokongan dan juga limpahan rezeki setelah dikurniakan tiga bintang hati yang menceriakan lagi pelayaran kehidupan, iaitu Siti Atiqah, Mohamed Farhan dan Nurul Nabilah.

Kerjaya perguruan masih diteruskan dengan ditempatkan di SRK Wellesley, Pulau Pinang dari 1993.

Setelah tamat pengajian di USM, beliau ditempatkan di SMK Abdullah Munshi pada 1998.

Sepanjang bertugas di sana, beliau diberi tanggungjawab sebagai Penolong Kanan Kokurikulum dan Penolong Kanan HEM.

Seusai itu, beliau seterusnya diberikan tanggungjawab yang lebih besar pada 2008 iaitu sebagai Penolong Kanan Pentadbiran di SMK Teluk Bahang dan di SMK Teluk  Kumbar 2 dari 2009 hingga 2019.

 

Mohamed Yunus ketika mengetip kad perakam waktu pada hari terakhir khidmatnya sebagai pendidik.

Perarakan masuk Mohamed Yunus.

 

Mengenang jasa dan pengorbanan beliau, warga SMK Teluk Kumbar 2 meraikannya dengan membawa beliau menaiki bas dua tingkat tidak berbumbung 'Hop on Hop off' Penang sejurus selepas beliau meletakkan kad perakam waktu terakhir pada jam 1.50 petang.

Seluruh warga sekolah sangat teruja melihat beliau menaiki bas dan melambai dari bumbung bas yang terbuka.

Tepat jam 2 petang bas mula meninggalkan pekarangan sekolah untuk menghantar beliau ke rumah diikuti oleh beberapa guru dan pelajar yang sama-sama menaiki bas tersebut.

Pelbagai kenangan bersama beliau tidak akan kami lupakan.

“Sir you are  never be replace”.

Sebelum acara kemuncak itu, majlis persaraan tersebut turut diserikan dengan persembahan khas orkestra daripada kumpulan gamelan sekolah iaitu Orkes Gema Bestari.

Majlis itu juga dikejutkan dengan kehadiran dan persembahan daripada bekas pelajar iaitu persembahan drama dan band kombo nyanyian daripada bekas pelajar beliau dari tahun 2010.

Selain itu, bekas pelajar juga membuat kejutan sambutan hari lahir beliau dengan membawa kek simbolik kereta beliau.

Rapatnya Mohamed Yunus dengan pelajar menyebabkan hampir 80 bekas pelajar turut hadir bagi memeriahkan majis persaraannya.

Sebagai kenangan, beliau turut  menanam pokok hiasan di Surau Al Falah.

Turut hadir pada hari tersebut wakil Tuan Pegawai Pendidikan Daerah, Shahrulzaman Mohamad, Pegawai Perhubungan Sekolah IPD Barat Daya, Inspektor Che Omar Abdul Raof, Bekas Pengetua SMK Teluk Kumbar 2 iaitu Rosli Hashim Zahari Zakariah.

 

Muhamad Shaqree (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Mohamed Yunus.

Bergambar dengan tetamu kehormat.

Ketika diarak menaiki “ Hop On Hop Off'.

Persembahan daripada bekas pelajar dari tahun 2010.

Mohamed Yunus menunjukkan tanda suka kepada warga sekolah ketika di atas 'Hop On Hop Off'.

Mohamed Yunus bersama warga SMK Teluk Kumbar 2.