GEORGETOWN - Kanak-kanak perempuan yang melecur di beberapa bahagian badan dipercayai didera bapa kandung, bukan disebabkan mencuri wang,  sebaliknya kerana makanan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata,  mangsa berusia lapan tahun itu dikatakan disiram air panas di badan selepas bapanya berang kerana makanan disediakan habis dimakan empat anaknya termasuk mangsa.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, dakwaan mangsa yang dikatakan mencuri wang RM10 ibunya adalah kejadian lama.

"Dalam kejadian malam 27 Disember  lalu, mangsa melecur di lengan, rusuk dan dada kanan. Punca kejadian bukanlah kerana mangsa dituduh mencuri wang, sebaliknya bapanya yang juga suspek berang selepas makanan yang disediakan isterinya habis.

"Dalam kejadian jam 1 pagi itu, suspek yang bekerja sebagai ejen jualan kad prabayar di sebuah pasaraya di Bayan Baru, baru pulang daripada bekerja dan dalam  keadaan lapar.

"Bagaimanapun, suspek mendapati makanan disediakan isterinya telah dihabiskan oleh anak-anaknya," katanya ketika dihubungi.

Jelasnya, berang dengan  perkara itu, suspek yang berusia 41 tahun bertindak mengejutkan keempat-empat anaknya yang sedang tidur lalu memukul mereka.

"Selepas memarahi dan memukul mereka, suspek menyimbah semangkuk air panas dari mesin penapis air minuman ke arah mangsa.

"Kejadian itu disaksikan isteri suspek yang berusia 38 tahun, namun dia hanya melihat  dan langsung tidak menghalang suaminya, malah turut memarahi mangsa,"  ujarnya.

Katanya, susulan itu, suspek dan isteri bersama anak bongsu mereka melarikan diri kerana bimbang ditahan.

"Anak sulung dan anak ketiga suspek kini di bawah jagaan nenek mereka. Kita giat mengesan suspek menaiki kereta Proton Saga warna putih, nombor pendaftaran  PCK 9818," katanya dan memberitahu mangsa dirawat di Hospital Pulau Pinang dilaporkan stabil.