Jumlah sekolah ditutup akibat HFMD di Pulau Pinang:

 

1. SJKC Shih Chung

Tarikh tutup: 11 Julai hingga 20 Julai

Daerah: Timur Laut

Bilangan pelajar terdedah: 1,208 orang

Bilangan kelas ditutup: satu sekolah

2. SJKC Sum Sun

Tarikh tutup: 12 Julai hingga 21 Julai

Daerah: Timur Laut

Bilangan pelajar terdedah: 413 orang

Bilangan kelas ditutup: 9 kelas

3. SJKC Chong Cheng

Tarikh tutup: 12 Julai hingga 21 Julai

Daerah: Barat Daya

Bilangan pelajar terdedah: 1,863 orang

Bilangan kelas ditutup: 11 kelas

4. SK Sungai Bakap

Tarikh tutup: 13 Julai hingga 22 Julai

Daerah: Seberang Perai Selatan

Bilangan pelajar terdedah: 29 orang

Bilangan kelas ditutup: 1 kelas

5. SJKC Sum Min 1

Tarikh tutup: 13 Julai hingga 22 Julai

Daerah: Timur Laut

Bilangan pelajar terdedah: 43 orang

Bilangan kelas ditutup: 4 kelas

6. SK Saujana Indah

Tarikh tutup: 13 Julai hingga 22 Julai

Daerah: Seberang Perai Selatan

Bilangan pelajar terdedah: 767 orang

Bilangan kelas ditutup: 3 kelas

7. SJKC Moh Gee Pusat

Tarikh tutup: 17 Julai hingga 26 Julai

Daerah: Timur Laut

Bilangan pelajar terdedah: 456 orang

Bilangan kelas ditutup: 3 kelas

 

Sumber: Jabatan Kesihatan Pulau Pinang

 

Pulau Pinang pandang serius penularan penyakit HFMD

Setakat Rabu lalu, sebanyak 35 premis yang masih ditutup.

 

GEORGETOWN – Pulau Pinang mencatatkan peningkatan jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) lebih 100 peratus berbanding tahun lalu.

Exco Kesihatan, Dr Afif Bahardin berkata, pihaknya memandang serius penularan penyakit itu kerana ia mudah menjangkiti orang lain, terutamanya kanak-kanak.

“Melalui laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan tentang kes HFMD yang berlaku di seluruh negara memang ada peningkatan.

“Di Pulau Pinang juga kita mencatatkan peningkatan. Kita ada 88 kes baru yang dilaporkan dalam masa sehari pada Rabu lalu.

“Kalau kita lihat pada jumlah kumulatif 2018 sebanyak 2,170 kes berbanding dengan 2017 iaitu 1,084 kes untuk tempoh yang sama bagi Januari hingga sekarang. Peningkatan sebanyak 100.2 peratus,” katanya.

Menurutnya, bilangan kluster HFMD kumulatif sehingga sekarang pula adalah 97 berbanding tempoh yang sama pada 2017 hanya 8.

“Penguatkuasaan dan pemantauan masih lagi diteruskan. Jumlah fasiliti yang dilawati dan diperiksa lebih daripada 854 fasiliti.

“Setakat Rabu lalu, sebanyak 35 premis yang masih ditutup. Masing-masing melibatkan sekolah rendah (7), taska (9), tadika (11), pusat jagaan (1) dan pra sekolah (7).

“Fokus kita sekarang ini adalah untuk memastikan kawalan dan tahap kebersihan kanak-kanak dan pusat jagaan kanak-kanak menjadi keutamaan,” katanya.

Jelasnya, semua pelajar, ibu bapa, guru dan pemilik pusat jagaan disarankan supaya memastikan aspek kebersihan menjadi keutamaan untuk mencegah daripada penyakit itu terus merebak.

“Walaupun pesakit boleh sembuh sendiri dalam tempoh tujuh hingga sembilan hari, kadang-kadang ia boleh menyebabkan juga komplikasi kepada pesakit.

“Selalunya kes ini pesakit akan pulih sendiri. Cuma mereka perlukan kuarantin dan rehat yang secukupnya.

“Sebab itu sekarang ini kita lihat ada kawasan-kawasan yang perlu ditutup kerana sudah banyak kes dan kita tak nak lagi penyebaran kepada kanak-kanak lain,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang di kuarantin adalah dinasihatkan supaya tidak berada di kawasan awam seperti sekolah dan pusat jagaan.

“Ibu bapa juga tidak harus membawa kanak-kanak ini ke tempat-tempat awam yang lain supaya jangkitan itu tidak merebak kepada orang lain,” katanya.