KEPALA BATAS - Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) memandang serius berkaitan isu madrasah tahfiz yang tidak berdaftar di negeri ini.

Bahagian Pendidikan Jabatan  Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang telah memulakan gerak kerja secara pro aktif sejak 2016 dalam  memastikan kewujudan maahad
tahfiz swasta didaftarkan.

Antaranya termasuk turun padang menolong mendaftarkan  maahad tahfiz ini dan masa sama menyedarkan masyarakat agar menghantar anak-anak ke maahad tahfiz yang berdaftar selain agihan sumbangan kerajaan negeri ataupun pusat hanya diberikan kepada maahad tahfiz yang berdaftar.

Sekaligus dengan langkah ini, kebanyakan maahad tahfiz mula mendaftarkan pusat mereka ke  bahagian ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) Ustaz Rosli Othman berkata, bahagian pendidikan
mengambil pendekatan turun ke padang dengan kaedah pujuk bagi mendaftarkan maahad tahfiz.

"Walaupun ada enakmen yang diperuntukkan,  kami mengambil langkah berkawan dengan maahad tahfiz  dalam menangani isu-isu berbangkit.

"Bagi kemudahan ibu bapa dan masyarakat untuk mencari maahad tahfiz, kami akan memperkenalkan sistem bintang seperti hotel untuk kemudahan para ibu bapa.

Selepas ini masyarakat boleh mencari maahad tahfiz yang berkualiti," katanya. 

Katanya, kaedah penarafan ini akan mula diperkenalkan pada pertengahan tahun  hadapan.

"Melalui kaedah ini, maahad tahfiz akan dinilai berdasarkan  kriteria-kriteria yang ditetapkan, dan ia akan dinilai oleh penyelia yang akan menjalankan pemantauan dari masa ke semasa," katanya.

Katanya, masyarakat kini  mempunyai harapan yang sangat besar kepada institusi tahfiz secara umumnya.

"Seiring dengan perkembangan  semasa, masyarakat mendambakan keluaran tahfiz juga ada  dalam semua profesion perlu diambil kira oleh para pengusaha maahad tahfiz swasta.

"Kurikulum sesebuah maahad tahfiz itu pelbagai, bergantung di  mana tenaga pengajar tersebut belajar dahulu, walaupun begitu kelemahan ketara yang timbul apabila tenaga pengajar tidak faham apa itu pendidikan menyebabkan fokus kepada penghafazan  tidak teratur dan pelajaran lain diabaikan.

"Pihak kami mengesan banyak lepasan maahad tahfiz tidak  mampu menulis dengan baik dalam  tulisan arab dan jawi walaupun sepatutnya ini merupakan asas yang perlu dikuasai oleh pelajar agama," katanya.

Katanya, bahagian pendidikan  memandang berat isu ini dan langkah telah mula diambil. 

"Ia bermula dengan fasa pertama kita mengadakan kursus tajwid kepada tenaga pengajar seluruh maahad tahfiz Pulau Pinang.

"Insya ALLAH, fasa kedua akan menyusul dengan menekankan aspek apakah itu pedagogi dan kawalan kelas dan fasa seterusnya berkaitan bahasa Arab akan diadakan," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri dan pusat sentiasa peka dengan maahad tahfiz. 

"Bantuan kepada maahad tahfiz yang diberikan oleh kerajaan negeri setiap tahun dibelanjakan untuk menampung keperluan makan pelajar dan bantuan pusat lebih ditumpukan kepada pengurusan dan pentadbiran serta penambahbaikan kecil maahad tahfiz itu sendiri," katanya.