Seramai 25 murid Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Siong menyertai kem tiga dalam satu yang disediakan pihak sekolah.

Program berkenaan ialah Kem Jati Diri, Kem Urus Diri dan Kem Bestari Solat 2018.

Penolong Kanan Pendidikan Khas, Rosni Ahmad berkata, objektif program ini bagi memberi pendedahan dan peluang mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PDP) di luar bilik darjah, selain mewujudkan jalinan dan jaringan kerjasama dengan komuniti luar.

“Pihak sekolah juga mahu mewujudkan kesamarataan dalam pelbagai aspek pendidikan agar tidak wujud jurang perbezaan antara aliran perdana dan pendidikan khas,” katanya.

Menurutnya, melalui program seumpama itu, murid dididik supaya dapat berdikari, mempunyai keyakinan serta boleh menguruskan diri.

“Anak-anak istimewa ini juga dapat pelajari cara solat, bacaan dalam solat dan rukun solat yang betul melalui pengisian salah satu modul.

“Program ini mampu melahirkan anak istimewa yang seimbang dari segi intelek, rohani, sahsiah, fizikal dengan cara mereka mengikut keupayaan mereka,” katanya.

Beliau berkata, pihak sekolah berharap nasib murid- murid PPKI tidak dipinggirkan.

“Mereka perlu diberi peluang, ruang, pengalaman dan hasrat keinginan mereka sama seiring murid-murid di arus perdana.

“Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta badan-badan korporat juga diharap tampil memberi semangat dan sokongan dalam apa jua bentuk bagi meningkatkan tahap kemenjadian mereka terutama murid di kelas tercorot,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, pelbagai pihak tampil memberikan sokongan terhadap program anjuran diadakan itu.

“Antara pihak-pihak terlibat membantu ialah Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Belia Sungai Limau, Baling yang memberi penginapan termasuk menyediakan pelbagai aktiviti.

“Selain itu, kumpulan pacuan empat roda Baling yang turut disertai sebuah jentera pasukan bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) daerah Baling, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan NGO yang datang dengan kenderaan pacuan empat roda menerjah hutan Gunung Baling,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar, Ahmad Jusoh menyuarakan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat.