PULAU PINANG – Seramai 77 guru sekitar Bagan Datuk, Perak mengikuti Kursus Ladap PAK21 dan Lawatan Penanda Aras di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pulau  Pinang, baru-baru ini.

Guru berkenaan terdiri dari tiga sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rungkup, Sekolah Kebangsaan (SK) Bagan Pasir dan SK Tanah Lalang.

Guru Besar SK Bagan Pasir, Muhammad Shafiai Selamat berkata, kursus itu anjuran PPD Bagan Datuk dengan kerjasama IPG kampus Pulau Pinang, kursus itu bertujuan menambah ilmu dan kepakaran mengenai pembelajaran abad ke-21 secara perkongsian pintu dengan IPG yang melahirkan guru.

Muhammad Shafiai (kiri) bertukar-tukar MOU bersama pensyarah IPG Kampus Pulau Pinang, Dr Abdul Razak b Othman.

"Kursus itu juga bertujuan menggalakkan perkongsian dan kepakaran dalam usaha mencapai kecemerlangan sekolah serta memotivasikan guru agar berusaha dengan lebih tekun agar sekolah dapat mencapai kecemerlangan serta bersedia mencapai taraf sekolah berprestasi tinggi," katanya.

Kata beliau, pelbagai pengisian program dilaksanakan sepanjang kursus berlangsung.

Antaranya, bengkel pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) di IPG Kampus Pulau Pinang, lawatan penanda aras ke Sekolah Nukleus SK Sungai Gelugor, Pulau Pinang dan lawatan penanda aras SMK Sri Mutiara Ayer Itam, Pulau Pinang.

Guru SK Bagan Pasir yang mengikuti Kursus Ladap PAK21 dan Lawatan Penanda Aras.

Pengetua SMK Rungkup, Mat Rahim Affandi dan Guru Besar SK Tanah Lalang, Sabri Khalid turut hadir.

Sehubungan itu, Muhammad Shafiai berharap semoga ilmu dan pengalaman diperoleh ketika mengikuti program ini akan mendapat idea seterusnya menjadi motivasi kepada guru di Bagan Datuk.

Perjanjian persefahaman wakil peserta dengan Pengetua Sri Mutiara Ayer Hitam Pulau Pinang.

“Mudah-mudahan dengan perkongsian pintar ini akan membantu pendidik lebih berinovasi dalam usaha melahirkan anak didik yang cemerlang mampu berdaya saing dalam era globalisasi yang cukup mencabar kini,” katanya.

Pensyarah IPG Kampus Pulau Pinang ketika menyampaikan ceramah kepada peserta.