GEORGETOWN - Seorang calon PT3 maut selepas terjatuh dari tingkat 11 sebuah pangsapuri di Lebuh Sungai Pinang 1, di sini, pagi semalam.

Difahamkan, mangsa berusia 15 tahun itu ditemui meninggal dunia di tepi kolam pangsapuri tersebut oleh pekerja pembersihan di kawasan kediaman terbabit.

Dipercayai, mangsa sepatutnya menduduki ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang bermula semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, mangsa terjatuh dari tingkap bilik tidurnya, kira-kira jam 8.45 pagi.

Menurutnya, mangsa yang lengkap berpakaian baju tidur dan tidak berkasut itu ditemui tertiarap di bawah blok kediamannya itu.

"Polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian dan setelah anggota kita sampai di tempat kejadian, didapati mangsa tidak sedarkan diri berhampiran kolam renang di pangsapuri tersebut. Kematian mangsa disahkan pegawai perubatan yang tiba selepas itu.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang dan bedah siasat dijalankan jam 11.20 pagi. Hasil bedah siasat mendapati, punca kematian kerana parah di kepala dan dada akibat terjatuh dari tempat tinggi. Tiada unsur jenayah ditemui di tempat kejadian dan kes diklasfikasikan mati mengejut (SDR)," katanya.

Surat yang ditulis mangsa kepada ibunya.

Sementara itu katanya, polis turut menjumpai empat surat di rumah pelajar  terbabit, dipercayai ditinggalkannya sebelum mangsa terjatuh.

Empat pucuk surat itu ditujukan kepada ibu, keluarga, rakan karib dan rakan sekelasnya.

Mangsa menyatakan perasan kecewa terhadap keluarganya yang dikatakan sering bergaduh.

Che Zaimani berkata, menerusi kandungan surat kepada ibunya, mangsa tidak tahan melihat ibunya sering menangis dan kematian adalah cara untuknya bebas daripada masalah kehidupan.

"Dalam surat itu, mangsa menyatakan masih banyak impiannya belum tercapai termasuk belum membaca sebuah buku komik edisi terakhir. Dia juga menyatakan tidak menyesal memilih jalan tersebut kerana sangat kecewa dengan keluarga dan dunia ini.

"Dalam surat ketiga pula, mangsa menulis untuk seorang rakannya dan berterima kasih kerana menjadi rakan baiknya selama 10 bulan. Dia juga menyatakan rakan baiknya itu telah membuatnya gembira selama mereka berkawan dan meminta rakannya itu menjalani kehidupan yang lebih baik," katanya.

Tambahnya, dalam surat terakhir mangsa, dia meminta agar kesemua rakan sekelasnya hidup bahagia dan gembira selalu.

"Dari kandungan kesemua surat yang ditulis mangsa, kita percaya mangsa mengalami tekanan perasaan berpunca daripada keluarganya. Bagaimanapun, siasatan lanjut akan dijalankan," katanya.